Showing posts with label emas. Show all posts
Showing posts with label emas. Show all posts

Dinar Emas Elak Manipulasi(Nik Aziz & Mahathir)


BERITA DIPETIK DARI HARAKAHDAILY 

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa anggota gabungan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) supaya menggunakan Dinar Emas untuk menghalang Amerika Syarikat dan Yahudi terus menguasai ekonomi dunia. 

Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi, Nik Aziz mempersoalkan jika Kesatuan Eropah boleh menggunakan Euro sebagai matawang sendiri, mengapa tidak negara OIC. 

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan, penggunaan dinar boleh menjadi teras kepada penyatuan negara umat Islam dari sudut ekonomi untuk bangkit dari dibuli penjajahan kuasa besar dunia. 

Nik Aziz turut mengesyorkan kerajaan Malaysia, supaya mengambil langkah positif, meneruskan cadangan dan landasan yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC. 

"Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata," tegasnya. Kerajaan Negeri Kelantan menurutnya mengorak langkah pada tahun lalu untuk memperkenalkan dinar emas kepada rakyatnya. 

Beliau turut berbangga kerana pelancaran dinar emas mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Kelantan dan pelancong yang berkunjung ke negeri Serambi Mekah itu. 

Nik Aziz berkata demikian dalam Majlis Makan Malam sempena 'Persidangan Antarabangsa Mengenai Ekonomi Gold Dinar' yang dianjurkan di PWTC pada 24 dan 25 Julai ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi www.kelantan.tv. 

Selain Dr Mahathir sebagai pemidato utama, persidangan dua hari itu mengemukakan beberapa tokoh ekonomi Islam antarabangsa antaranya, Profesor Madya Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Profesor Masudul Alam Choudhury, Sheikh Imran N. Hosein, Umar Ibrahim Vadillo, dan lain-lain. 

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib-naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood. 

Teks penuh ucapan Tuan Guru Nik Aziz seperti berikut: 

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, longgokan harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda, lagi terlatih, dan binatang-binatang serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia(yang bersifat sementara). dan (ingatlah), pada sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga yang kekal abadi).
(Surah Ali Imran, ayat 14) 


Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wa taala, kerana hanya dengan limpah izin dan inayah-Nya sahaja, kita dapat menjayakan majlis makan malam, sempena "Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa" yang sangat penting lagi amat bersejarah ini.
 
Dato'-dato', Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekelian, 

Pada tanggal 27 Syaaban 1427 hijriah, bersamaan 20 September 2006 yang lalu, Kerajaan Negeri Kelantan telah mudahkan kepada rakyat Kelantan amnya, dengan penjualan kepingan-kepingan dinar yang diperbuat daripada emas tulen 22 karat, bersamaan seberat 4.25 gram. 

Pelancaran emas dinar Kelantan tersebut, bukanlah bermaksud Kerajaan Negeri Kelantan mahu menggantikan penggunaan ringgit Malaysia dengan dinar! 

Kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat sekalipun, tidak mampu, malah tidak ada kuasa untuk berbuat demikian. Bahkan, kerana wujudnya perjanjian di peringkat antarabangsa, yang memutuskan bahawa emas dan perak tidak lagi boleh dijadikan mata wang dalam ekonomi semasa. 

Tindakan mewadahkan dinar yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan, sama sekali tidak bertentangan dengan peraturan dan amalan bank negara, kerana pada tahun 2003 yang lalu, Bank Negara sendiri pernah memperkenalkan wadah dinar kepada rakyat. 

Sehingga hari ini, tuan-tuan dan puan-puan masih boleh membeli dinar, yang ditempah dan dijual oleh The Royal Mint dengan tiada apa-apa masalah. 

Sememangnya budaya ekonomi Islam adalah berteraskan dinar dan dirham. Dalam al-Quranul karim, perkataan dinar dan dirham ada termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 75 dan juga dalam surah Yusof ayat 20. 

Maksudnya:
Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya.
(Surah Ali Imran : 75)
Maksudnya:
Dan (setelah berlaku perundingan), dan adik beradik Nabi Yusuf telah menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja...
Kedua-dua ayat al-Quran ini menceritakan, bahawa penggunaan wang dinar dan dirham, telah pun berlangsung sejak ribuan tahun, sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w lagi. 

Selain daripada ayat al-Quran, terdapat banyak hadis-hadis yang menceritakan, tentang penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang, sehingga ke zaman Rasulullah s.a.w, sebagaimana sabda baginda : 

maksudnya:
"Dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, dinar yang engkau belanjakannya dalam membebaskan hamba. Dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin. dan dinar yang engkau belanjakannya untuk ahli keluarga kamu. Yang paling besar pahalanya (di sisi Allah) ialah dinar yang kamu belanjakannya untuk (memenuhi keperluan dan membangunkan potensi hidup) ahli keluarga kamu.
Dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis di atas membuktikan bahawa, asas sistem matawang yang digunakan di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, sejak zaman nabi-nabi yang terdahulu, sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w, adalah dalam bentuk mata wang dinar dan dirham. 

Bahkan sistem inilah, yang telah diamalkan di sepanjang pemerintahan Khulafa' ar-Rasyidin, sehingga berakhirnya zaman pemerintahan kerajaan atau Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 Masihi.(Untuk ditukar dengan sistem sekular Ataturk dan telah menimbulkan seribu satu masalah kepada al-insan). 

Sejarah juga telah membuktikan bahawa negeri Kelantan berada di bawah jajahan takluk Kerajaan Siam suatu ketika dahulu, pihak Kerajaan Kelantan sentiasa membayar ufti kepada kerajaan Siam pada setiap tahun, dengan menghantarkan sebilangan kepingan-kepingan wang emas, yang digubah dalam bentuk bunga emas. 

Ini membuktikan bahawa, penggunaan wang dinar emas bukan hanya digunakan umat Islam di Timur Tengah sahaja, tetapi telah digunakan secara meluas sehingga ke Adia Tenggara, termasuk Negeri Kelantan sejak ratusan tahun yang lalu. 

Para Hadirin sekalian, 

Saranan supaya kembali kepada penggunaan wang dinar emas, sebagai teras ekonomi pada zaman globalisasi ini, bukanlah dimonopoli oleh penganut agama Islam sahaja.
Bahkan ramai juag ahli-ahali ekonomi dari kalangan bukan, yang inginkan wang komoditi, kahsnya dalam bentuk kepingan emas dan perak kerana kestabilan dan jaminan kebebasan yang dikandungnya. 

Mereka berpendapat, alasan utama mengapa sistem wang komoditi seperti dinar emas, tidak dibenarkan oleh pihak-pihak tertentu, bukanlah disebabkan kekurangan kemahiran teknikal tetapi kerana wang komoditi mampu menggantikan sistem monetari konvensional. 

Oleh kerana penggantian tersebut boleh menjadi ancaman besar, khasnya kepada kepentingan ekonomi Amerika dan Yahudi sedunia menyebabkan pihak-pihak yang berkepentingan itu gemar membuat alasan bahawa kononnya jika emas dan dinar dijadikan sebagai matawang ia akan mudah tercicir, atau poket akan cepat tembus, kerana berat membawa wang dari emas. 

Dato'-dato', datin-datin, tuan-tuan, dan puan-puan yang dihormati sekalian, 

Emas telah menjadi piawai bagi mata wang dunia, selama beribu-ribu tahun, sehinggalah ia diganti kepada wang kertas dollar hanya pada awal tahun 1970-an. Wang dollar tidak lagi disandarkan kepada emas, tetapi nilainya turun naik mengikut gelora permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing. 

Justeru, kita perlu melihat usaha pengembalian dinar dan dirham ini, sebagai usaha menegakkan sistem ekonomi yang lebih adil dan lebih telus. 

Bukannya satu agenda untuk meraih populariti. Bahkan sebagai satu tanggungjawab untuk mengembalikan semuala kefahaman umat Islam khasnya, berhubung peradaban dan sejarah penggunaan dinar dan dirham, serta bertujuan untuk memberi kesedaran dan keyakinan, terhadap penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada sistem matawang, terutamanya dengan mempelopori penggunaan dinar sebagai simpanan, mas kahwin, membayar zakat, pemberian hadiah, dan sedekah untuk bekal akhirat sebagai harta cagaran di pusat-pusat gadaian ar-Rahnu, sebagai upah kepada perkhidmatan atau sumabangan yang tertentu dan sebagainya. 

Saya telah difahamkan bahawa sehingga ke tarikh ini, sejumlah lebih RM600 ratus ribu nilaian wang emas dinar Kelantan, telah dibeli oleh masyarakat umum. dan yang sangat menariknya, pelancong-pelancong dan pelawat-pelawat dari luar Kelantan juga, berebut-rebut untuk memiliki dinar emas keluaran kerajaan Kelantan. 

Sama ada sebagai cenderamata, mahupun untuk lain-lain kegunaan mengikut keperluan masing-masing. Ini semua membuktikan bahawa, usaha ke arah mengembalikan semula penggunaan mata wang dinar, mempunyai masa depan yang amat cerah, dan akan mendapat sokongan daripada pelbagai masyarakat di seluruh dunia, tanpa mengira agama, bangsa, bahasa dan budaya. 

Para hadirin sekalian, 

Saya selaku Ketua Kerajaan Negeri Kelantan, akan terus memberi sokongan yang sepenuhnya, walaupun dalam bidang yang terhad kepada perjuangan "Gold Dinar Economy" kerana ia merupakan satu perjuangan suci, yang dapat menyatukan dan mendaulatkan kembali umat Islam serta negara-negara kecil sedunia, daripada terus dijajah dan dibuli oleh kuasa besar ekonomi dunia. 

Saya juga mengesyorkan supaya kerajaan Malaysia mengambil supaya kerajaan Malaysia mengambil langkah positif, dengan meneruskan cadangan dan landasan yang telah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC. 

Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata.Ia sebaliknya mengandungi kemaslahatan umum yang bersifat sejagat, yang perlu diperjuangkan secara konsisten oleh kita semua. Jika negara-negara Kesatuan Eropah boleh menggunakan matawang mereka sendiri, dengan nama mata wang Euro, mengapa tidak kita negara-negara OIC menggunakan mata wang dinar? 

Saya serahkan kepada pakar-pakar ekonomi kita, untuk terus berjuang memberi kefahaman kepada masyarakat Islam, terutamanya pimpinan dan golongan cendikiawan. 

Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur persidangan ini, dan juga semua pembentang kertas kerja, sama ada dari luar negara mahupun dari dalam negara, yang sama-sama telah bersatu tenaga dan idea, dalam menjayakan "Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa," yang sangat penting lagi sangat bersejarah ini. - mks.

 

a
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun urusniaga menggunakan dinar emas boleh mengelak manipulasi dan penipuan, tetapi malangnya tiada negara, termasuk negara Islam yang mahu melakukannya.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Emas Dinar 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.


Beliau berkata, seketika dahulu Malaysia pernah mahu menggunakan dinar emas dalam urusniaga tetapi tidak berjaya dilaksanakan kerana tiada negara lain yang sedia menjalankan urusniaga menggunakannya.

Bagaimanapun, beliau tidak membuat cadangan khusus supaya kerajaan menggunakan dinar dalam urusniaganya.

"Tetapi kita masih boleh melaksanakannya hari ini kerana Dolar Amerika tidak ada nilai," katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, dinar emas tidak sama dengan matawang kerana kerana ia tidak boleh dimanipulasi di pasaran semasa.

Katanya, dinar juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dari urusniaga harian sehingga kepada urusan perkahwinan dan ibadah haji.

Bagaimanapun, katanya, untuk menjadikan dinar emas sebagai wang alternatif perniagaan bukanlah mudah kerana ia boleh menyebabkan ekonomi negara gagal atau musnah.

Sementara itu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata, sekalipun Malaysia menggunakan dinar emas, namun sistem perdagangan lama terus digunakan.

"Apabila kita memperkenalkan perbankan Islam, sitem perbankan lama masih dikekalkan," katanya.

Beliau berkata, Bank Pusat patut menerima bayaran dari pengimport di dalam negeri dan dan digunakan untuk membayar kepada pengekport dari negara sama.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, dinar emas masih mempunyai masalah iaitu dari segi pengangkutan kerana ia sangat berisiko.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, umat Islam hari ini menjadi lebih kaya dari sebelumnya, khususnya dari segi pendapatan dalam dolar Amerika, tetapi tidak menggunakan sistem perbankan ataupun atau wang untuk kepentingan mereka.

Menurut Dr Mahathir, mereka sebaliknya menyimpan wang di negara luar khususnya di Amerika yang digunakan oleh kuasa besar itu untuk membunuh orang Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan.

"Saya kira para ulama perlu mengeluarkan fatwa bagaimanakah hukumnya orang Islam yang menyimpan wang di Amerika yang kemudiannya digunakan untuk membunuh orang Islam sendiri," katanya.

Turut serta dalam persidangan yang dianjurkan Institut Penyelidikan dan Kajian Startegik Kelantan (KRISS) dengan kerjasama Marslio adalah penasihat-penasihat kewangan Bank-Bank tempatan, pakar-pakar ekonomi luar negeri dan tempatan serta pelajar-pelajar ekonomi Universiti tempatan dan antarabangsa.

'Forex Trader' Perosak & Islamkah Matawang Emas ?

Punca Gawat & Matawang Emas Akan Gagal Jika
-          Kembalikan Fungsi Asal Matawang -
-          Pemain forex pemusnah system matawang -
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
gold.jpg


Tidak dinafikan sistem kewangan Islam yang wujud hari ini masih banyak kelemahan dan kekurangannya.  Dari pelbagai jenis sudut, sama ada dari sudut rangka kewangan dunia yang mengcengkam, system perundangan yang banyak kalanya tidak bersedia dan tidak menepati, pemegang saham perbankan Islam yang ‘tidak' ihsan serta terlalu mengejar keuntungan, sistem perkomputeran dan pengiraan yang masih lagi ‘terpaksa' mengikut rentak majoriti yang konvensional, produk perbankan Islam yang masih terbawa-bawa kehendak pelanggan berminda konvensional, pelanggan yang terlalu ‘demand' kesempurnaan pada praktis perbankan Islam tetapi diri sendiri terlalu jahil tentang Fiqh Muamalat dan kewangan moden hingga akhirnya menjadi racun kepada umat Islam, sistem matawang  fiat yang direka, dicipta dan diatur tidak dengan cara yang betul dan panjang lagi senarainya jika ingin saya kongsikan di sini.
Dari senarai panjang tersebut, hanya satu yang ingin dikongsikan bersama dalam tulisan ringkas padat ini. Iaitu topik berkaitan sistem pengendalian matawang yang menyukarkan perubahan untuk melahirkan system kewangan Islam yang terbaik. Kesalahan pengendalian  dan regulasi matawang hari ini telah diakui oleh begitu ramai pakar dari kalangan Muslim dan bukan Islam sebagai salah satu punca berlakunya kegawatan demi kegawatan.
Di dalam Forum Kewangan Dunia di Geneva 2010, baru-baru ini, Pengerusi Majlis Syariah Kesatuan Kewangan Islam Sedunia (AAOIFI) yang juga Naib Presiden Darul Uloom, Karachi, Syeikh Mufti Taqi UThamni telah berusaha berkongsi pandangan sebagai mewakili majoriti besar ulama dan ahli ekonomi Islam berkenaan system matawang. 
Beliau cuba membawa menyedarkan pemimpin-pemimpin Negara maju untuk membuat satu perubahan radikal jika benar-benar ingin mengelakkan berulangnya ‘serangan' kejatuhan ekonomi di masa akan datang. Sesuai dengan tema program tersebut yang cuba mencari punca dan penyelesaian bagi kegawatan ekonomi baru-baru ini.
Benar, di waktu dan ketika ini, yang praktikal adalah dengan cuba meyakinkan pemimpin Negara maju ini untuk berubah, itu adalah salah satu cara terbaik untuk mempengaruhi system besar kewangan dunia untuk berubah dan dibaikpulih sedikit demi sedikit. Memang kita boleh menunjuk ‘lagak' untuk mempertikai itu dan ini dan mengkritik system kewangan Islam dengan pelbagai tuduhan keras selagi menumpang di atas system kewangan konvensional dan menggunapakai matawang fiat kertas. 
Namun pandangan ideal semata-mata yang tidak menjejak di bumi pasti akan gagal menyakinkan pemimpin Negara maju untuk berubah, lalu ia akan kekal menjadi mimpi dan idaman sahaja. 
Atas dasar itu, kita bersyukur dan berterima kasih atas usaha Syeikh Taqi Uthmani yang amat cemerlang. Beliau mengusulkan idea perubahan praktikal yang mesti dilakukan oleh dunia bagi menghasilkan sesebuah system kewangan yang lebih dinamik dan selamat di masa akan datang.
Salah satu cadangannya patut difahami sebaiknya oleh kita semua, selaku umat Islam sendiri. Kerana bagaimanakah boleh kita mengharapkan perubahan hanya dari minda dan tangan pemimpin barat sedang kita sendiri tidak faham apa yang sepatut dan yang tidak. Justeru, di kesempatan ini saya ingin menegaskan satu perkara sahaja. 
Tanpa niat untuk mengulas secara mendalam perihal matawang emas dan praktikalitinya di dunia moden, sebenarnya ada satu isu yang lebih basic dari isu tersebut, yang tanpa memahaminya, matawang dinar emas ( jika mampu dilaksana) juga akan tetap gagal dalam membentuk sebuah system ekonomi yang Islamik dan stabil. Ia adalah isu kemestian untuk mengembalikan fungsi matawang dalam Islam.
KEMBALIKAN FUNGSI ASAL MATAWANG
Imam Abu Hamid Al-Ghazali sejak 900 tahun dahulu telah menegaskan fungsi asal dan asas bagi matawang menurut perspektif Islam. Beliau berkata
 "Penciptaaan dirham dan dinar ( matawang emas dan perak) adalah benar-benar satu rahmat dari Allah ta'ala, kedua-duanya pada hakikatnya tiada nilai tersendiri yang boleh dimanfaatkan oleh manusia ( seperti untuk makan dan minum), tetapi akhirnya semua manusia memerlukannya disebabkan semua manusia memerlukan nilai suatu komoditi (barang) untuk ditukarkan bagi mendapatkan keperluan asasi makanan dan pakaiannya. Atas sebab itu, transaksi yang melibatkan pertukaran barangan antara satu sama lain tidak dapat dielakkan, Namun masalahnya, bagaimana untuk diukur nilai sesebuah barang dan ditetapkan harganya? Justeru keperluan itu, semua barangan keperluan ini memerlukan satu barang perantaraan yang boleh menjadi ukur rujuk bagi nilai. Maka itulah gunanya dinar dan dirham ini (wang emas dan perak), kedua-dua logam berharga itu akan  menjadi ukuran nilai sesuatu barangan lain kerana KEDUANYA TIDAK MENJADI OBJEKTIF jual beli, ia hanya menjadi perantaraan, jika kedua menjadi OBJEKTIF seluruh system ekwangan akan ROSAK DAN TERGANGGU. Kerana itulah Allah menciptankannya, melalui perantaraannya, pertukaran barangn kepelruan yang menjadi sasaran dan oibjektif jual beli akan terjamin keadilannya."
Dari penerangan Imam Al-Ghazzali ini, jelas pendirian ekonomi Islam berkenaan matawang tidak kira ia dari jenis emas, perak atau kertas fiat adalah:-
a) Matawang mestilah hanya sebagai perantara bagi tranksaksi jualbeli komoditi sebenar sahaja dan ia sendiri BUKAN komoditi.
b) Matawang mesti menjadi panduan ukuran nilai sesuatu barang keperluan.
Kedua-dua syarat di atas saling berkait, tanpa salah satu, ia akan gagal menjadi matawang yang dikehendaki oleh Islam.
Ini juga konsep yang telah diakui tepat oleh para ahli ekonomi seluruh dunia, khususnya Muslim economist. Malangnya, di ketika ahli cerdik pandai ini menyarankan dan mengakuinya, pemimpin politik dan taikon kewangan dan regulator badan utama kewangan dunia tidak mahu menrima pakai cadangan dan pandangan tersebut, ia tidak lain adalah  akibat ketamakan melampau puak korporat dan politik ini.  
Kesannya, hari ini matawang selain dijadikan sandaran nilai dan medium perantara jualbeli, ia sendiri telah dijadikan sebagai KOMODITI yang juga barang yang dijual dan dibeli. 
Dalam bahasa mudahnya, emas dan matawang sendiri dijadikan sebagai objektif dalam sesuatu transaksi jualbeli, ia sepatutnya hanya menjadi perantara namun kini, fungsinya telah disalahgunakan sehingga menjadi barang jualan dan akhirnya menyebabkan nilainya tidak lagi stabil (fluctuate). Ini mencacatkan fungsinya yang sepatutnya dijadikan sandaran atau ukuran bagi nilai komoditi lain. 
Matwang yang dijadikan sandaran nilai sepatutnya mempunyai nilai yang hampir tetap, tidak terlalu banyak berubah dan bergerak. Hanya dengan itu, inflasi dapat dikawal dan jualbeli menjadi stabil dan keadilan tersebar. 
Namun apabila matawang hari ini di jadikan komoditi, nilai sendiri tidak terkawal. Selain melihat nilai matawang kertas, cuba lihat juga nilai emas hari ini, bukankah ia juga turun naik dengan agak kerap..itu tanda emas yang wujud hari ini diperlakukan secara salah oleh manusia. 
Atas sebab itu, hatta jika hari ini kita sibuk menginginkan emas untuk dijadikan matawang, namun dengan sikap dan attitude yang menggangap matawang sebagai komoditi, emas dan perak itu sendri pun akan gagal berfungsi sebagai matawang yang diinginkan oleh Islam.
Sebab itulah, perlu difahami, kejayaan menjadikan emas sebagai matawang belum boleh dianggap satu kejayaan mengislamkan ekonomi sama sekali, malah masih amat jauh.  Malah, apa yang lebih perlu diperbetulkan adalah sikap, kefahaman dan system regulasi kewangan dunia hari ini.
Sistem matawang emas dan perak ini pun bukanlah diperkenalkan oleh Rasulullah, malah ia telah wujud sebelum dari kebangkitan Rasulullah. Islam menerima pakai dua logam berharga itu sebagai matawang dan hanya mampu di "ISLAMKAN' apabila syarat-syarat urusniaga matawang yang digariskan oleh baginda Nabi DIPENUHI. Justeru, hanya memperjuangkan matawang emas bukan segala-galanya bagi sebuah ekonomi dan kewangan Islam.
Justeru, janganlah ada yang menyangka bahawa system kewangan Islam akan hanya menjadi benar-benar Islam apabila menggunakan emas dan perak sebagai matawang. Tidak semudah itu. Malah dengan fiat money ini juga system kewangan Islam mampu dicapai jika regulasi dan pengurusan matawang berjaya direfomasikan kepada cara yang betul, sama ada cara ia dikeluarkan, edaran, kawalan dan penggunaannya. 
MENYEDIHKAN BILA EMAS DIJADIKAN ALAT PELABURAN
Lebih menyedihkan, di ketika laungan dan desakan untuk mengembalikan emas dan perak sebagai matawang dipukul canang oleh sebahagian umat Islam, individu yang sama juga kelihatan sibuk memperdagangkan emas dan menjadikannya sebagai sebagai bahan pelaburan. Mereka sibuk membeli emas dalam bentuk jongkong yang dijual oleh Public Bank, Maybank melalui akaun pelaburan emasnya, atau melalui syarikat-syarikat lain untuk disimpan dan kemudian dijual bagi memperolehi untung atas perbezaaan hari ini dan masa hadapan. Kemudian mereka menggembar-gemburkan kononnya melabur dalam emas adalah Islamik dan menepati Islam. 
Hakikatnya itu adalah dakwaan terseleweng mereka, ia tersasar dari falsafah matawang yang digariskan oleh Imam Al-Ghazzali, dan majority ilmuan Islam. 
Memang benar, walaupun secara kontraknya jual beli mereka adalah sah apabila menepati syarat serah terima pada satu masa dan sama timbangannya (Yadan bi Yadin mithlan bi mihtlin), tetapi hakikatnya tindakan itu  tersasar dari Maqasid al-Shariah kepada penciptaan emas dan perak itu sendiri
Malah jika benar-benar satu hari kelak emas dijadikan matawang, individu sebegini yang akan merosakkan system kewangan Islam di ketika itu.  Mengapa? Kerana mereka terlibat dalam mengubah fungsi emas dan perak yang sepatutnya menjadi matawang kepada komoditi dan objektif untuk membuat untung atas perubahan nilai.  Selagi mereka melaksanakan kerja itu, selagi itulah emas juga TIDAK SESUAI dijadikan matawang. Kelak nanti syiling-syiling matawang emas semuanya disimpan dan disorokkan dari gunapakai, kerana ingin menunggu nilainya menaik. Tatkala itu ia akan tergolong dalam erti ihtikar yang diharamkan.!
Perlu difahami, emas yang sudah dibentuk menjadi perhiasan seperti gelang, rantai, cincin dan sepertinya tidak dilarang untuk dijadikan komoditi atas sifatnya yang telah bercampur dengan skill pembuatan dan ditokok tambah pula dengan batu permata dan sebagainya. Tatkala itu, barulah boleh diambil untung atas jualannya. 
BAGAIMANA KONTEKS HARI INI MATWANG KERTAS?
Disebabkan matawang emas masih tidak wujud di ketika ini, maka bagi memastikan system kewangan lebih stabil dan selamat pada pandangan Islam, maka apa sahaja yang menjadi galang ganti kepada matawang emas dan perak juga TURUT WAJIB DIKENDALI SESUAI SEBAGAI MATAWANG BUKAN KOMODITI.
Kesatuan Fiqh Islam sedunia, akur kepada system kewangan dunia yang dipegang oleh bukan Islam, mereka mengatur dan menjadikan kertas sebagai matawang. Maka atas dasar hajiat, ulama sedunia bersama pakar ekonomi Islam membuat keputusan keharusan untuk mengunnapakai matawang kertas namun mestilah diuruskan menepati cara urusan emas dan perak.Iaitu dari sudut hukumnya dan juga cara pengendaliannya sebagai matawang, iaitu tidak harus dijadikan komoditi.
Atas sebab itu, forex trading walaupun dibuat spot tetapi untuk mengabil untung atas perbezaan nilai matawang, adalah juga HARAM di dalam Islam kerana ia lebih kepada spekulasi dan perjudian. Di samping isu-isu lain seperti gharar dan keterlibatan riba dalam leverage. Apapun, yang pasti perniagaan forex trading wang kertas pelbagai Negara adalah untuk menraih untung atas perbezaaan nilai matwang adalah HARAM kerana ia adalah judi dan penyebab mudarat kepada system ekonomi dunia dan penyumbang kepada inflasi serta ketidakstabilan nilai matawang.
Bank-bank Islam di seluruh dunia juga dikawal selia oleh Majlis Syariah masing-masing agar tiada unsur spekulasi dalam setiap forex trading mereka. Hanya forex untuk tujuan lindung nilai ( hedging) sahaja dibenarkan. Itulah juga keputusan Majlis Shariah Bank Negara Malaysia. Forex trading untuk raih untung atas perbezaan nilai matwang tidak dibenarkan OLEH MAJORITI Majlis Syariah bank-bank Islam walaupun ia dibuat secara spot.
Hasilnya, kita perlu faham, matawang kertas (fiat money) yang wujud hari ini juga mestilah TIDAK dijadikan komoditi, sama seperti emas dan perak. Itulah yang diwarwarkan oleh Syeikh Taqi Uthmani semasa Forum Kewangan Dunia. Bagi mengurangkan masalah di dalam system ekonomi semasa. Sebagai jalan pertama untuk mewujudkan system ekonomi adil dan menepati Islam.
Malangnya dicelah-celah ketamakan manusia hari ini, matawang kertas fiat hari ini turut menjadi bahan sasaran dan objektif keuntungan. Bukan sahaja bank-bank terlibat, malah ramai individu juga rambang mata berniaga FOREX melalui platform internet, Walau ia ditegah oleh kerajaan, semuanya tidak diendah lagi. 
Mereka membeli matawang  sesebuah Negara (Euro sebagai contoh) untuk disimpan sebagai pelaburan bagi menunggu nilainya menaik untuk dijual kembali di pasaran. Inilah punca dan penyebab kelam kabut ekonomi dunia. Sama ada ia dilakukan oleh industri perbankan atau individu. Kesemuanya BERDOSA. Imam Al-Ghazzali berkata : 
"Jadinya, barangsiapa yang memulakan berjualbeli matawang (untuk mendapat keuntungan perbezaan nilai), tindakannya sendiri telah BERCANGGAH dengan objktif asal penciptaan matawang,... jika dibenarkan mereka berbuat demikian, kelak matawang itu sendiri akan menjadi tumpuan dan objektif lalu akan bermulalah perbuatan ihtikar (hoarding) = simpan untuk tunggu naik harga dan jual" [1]
Falsafah larangan dan objktif ini dijelaskan oleh Syeikh Taqi uthmani dapat dilihat dengan jelas dari pengharaman riba dan penghalalan jual beli sebagai ganti kaedah untuk mendapat untung. 
PENYELESAIAN TEPAT DAN TIDAK PELIK
Sebenarnya cadangan ini tidaklah ganjil dan pelik, malah ia juga telah dicadang oleh ramai pakar ekonomi termasuk yang bukan beragama Islam. Contohnya selepas berlakunya kegawatan pada tahun 1930 an,  ‘Economic Crisis Committee' telah dibentuk oleh  Southampton Chamber of Commerce, selepas perbincangan dan diskusi mendalam mereka menyatakan:
"In order to ensure that money performs its true function of operating as a means of exchange and distribution, it is desirable that it should cease to be traded as a commodity."[2]
Malah suatu percubaan praktikal telah dicuba dan didedahkan oleh seorang ahli ekonomi bernama Margrit Kennedy di dalam bukunya bertajuk "Interest and Inflation Free Money." Beliau memaklumkan hasil percubaan pelaksanaan interest free model DAN MATAWANG TIDAK DIJADIKAN KOMODITI yang dilakukan di pekan kecil Austria pada tahun 1932- 1933, dia menyatakan  :
 "When over 300 communities in Austria began to be interested in adopting this model, the Austrian National Bank saw its own monopoly endangered. It intervened against the Town Council."[3]
Beliau juga bersama beberapa pakar ekonomi di USA telah berusaha bagi mencadangkan system alternative ini kepada kerajaan USA pada tahun 1933, tetapi semua cadangan mereka ditolak. 
Syeikh Taqi menegaskan : 
"In order to save the world from such evil consequences, trading in money itself should be stopped. Exchange of different currencies is, of course, inevitable for the purpose of international trade, for which one currency has to be sold for another currency, and a margin of profit for the seller may be inbuilt in the exchange rate. So far as these exchange transactions are carried out for the genuine purpose of cross border trade of real commodities, it cannot pose a problem. The problem arises when exchange of currencies is meant for speculative transactions in money itself. Unfortunately, majority of currency transactions carried out in the market are purely speculative. " [4]
Ertinya : "Bagi menyelamatkan dunia dari kesan buruk, penjualbelian matawang MESTI dihentikan, Namun begitu, pertukaran matawang berbeza adakalanya tidak dapat dielakkan bagi keperluan perdagangan antarabangsa, yang mana memerlukan pertukaran dan jualbeli matawang berbeza...dan margin keuntungan penjual mungkin telah dimasukkan dalam nilai tukaran. Biasanya pertukaran dari jenis ini yang didasari oleh tujuan-tujuan asas  perdagangan komoditi sebenar, ia tidak banyak mengancam ekonomi. Masalah sebenar hanya berbangkit apabila pertukaran matawang dibuat bagi tujuan spekulasi dalam nilai matawang itu sendiri. Amat malang apabila didapati majority transaksi pertukaran matawang  dibuat adalah atas dasar spekulasi tulen (judi).
Bayangkan, dengan jumlah global international trade pada tahun 2008 sekitar US$ 32 trillion, [5] iaitu purata US$88 billion setiap hari, mankala ‘daily turnover' bagi global foreign exchange markets pula dianggarkan pada nilai USD $ 3.98 trillion, [6]  iaitu, 45 kali ganda  lebih besar dari jumlah international trade. Ini bermakna hanya 2% daripada pertukaran matawang benar-benar didasari oleh permintaan sebenar oleh kerajaan dan peniga. Baki 98 % adalah dilakukan atas dasar spekulasi yang akhirnya menyebabkan inflasi di seluruh dunia dan menjadi salah satu punca ketidakstabilan ekonomi dunia dan kegawatan.
KESIMPULAN
  • 1)      Wajib mengembalikan fungsi matawang kepada asal iaitu penentu nilai barangan (komoditi) dan perantara kepada proses jualbeli komditi.
  • 2)      Tidak menjadikan matawang samada wang fiat atau emas dan perak sebagai komoditi kerana ia hanya akan merosakkan system nilai dan ekonomi serta menambah inflasi.
  • 3)      Haram hukumnya menyertai FOREX Trading melalui internet di peringkat individu kerana bercanggah dengan undang-undang negara dan banyak syubhatnya di sisi undang-undang Islam.
  • 4)      Setiap penasihat Syariah bank-bank Islam wajib menyemak kembali fatwa mereka (jika ada yang membenarkan) yang membenarkan bank seliaan mereka berniaga FOREX Trading walau mematuhi syarat serah terima sertamerta.
  • 5)      Kerajaan Malaysia amat patut mengenengahkan idea ini kedalam perbincangan ekonomi dengan Negara-negara maju di seluruh dunia. Saya yakin mereka sedar, hasil membenaRKAN matawang sebagai KOMODITI  inilah yang menjadikan Malaysia sasaran George Soros pada tahun 1997. Tanyalah Dr Mahathir tentang hal ini.
  • 6)      PAS dan Pakatan Rakyat juga patut menjuarai isu ini di pentas nasional dan global. Jangan biarkan Syeikh Mufti Taqi Uthmani keseorangan dalam lontaran ideanya.
  • 7)      Kepada penyokong-penyokong matawang emas dinar, jangan anda terlibat dalam perdagangan emas jongkong sebagai komoditi kerana anda adalah punca kegagalan system itu diyakini oleh barat kerana nilainya juga turut akan menjadi fluctuate kerana anda.
  • 8) forex YANG DIBENARKAN hanyalah a) Untuk lindung nilai (hedging) b) untuk tukar duit kerana urusan luar negara  ( yang biasanya tukar di money exchange)c) forex tukaran matawang yang diperlukan kerana perdangangan komoditi di peringkat antarabangsa yang memerlukan penggunaan matawang berbeza.
  • 9) FOREX trading untuk raih keuntungan yang dilakukan oleh individu sebenarnya kecil sekali berbanding FOREX yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia dan bank-bank Komersial. Kerajaan Malaysia sepatutnya MENIMBANG KEMBALI DASAR  FOREX yang besar ini terlebih dahulu. Bukankah dahulu BNM pernah rugi berbillion ringgit akibatnya. Kesimpulannya kedua-dua Forex dari institusi dan perseorangan sama sekali tidak menepati Maqasid Shariah dan merosak fungsi matawang.
  • 10) Sekadar menyimpan emas untuk diri sendiri di kemudian hari, tiada masalah di sisi Islam dan Maqasid Shariah. Apa yang saya sifatkan sebagai bermasalah dalam tulisan ini adalah yang simpan emas sekejap, kemudian jual, kemudian simpan balik, kemudian jual semula. Iaitu mereka yang menjadikan emas untuk trading secara kerap kerana meraih untung perbezaaan nilainya. Jadi, jangan salah faham tulisan ini sebagai in total melarang simpanan emas.
Terima kasih kepada sesiapa yang mampu membaca sehingga tamat artikel ini dan khusunya bagi mereka yang mampu memahami tulisan ini. Sampaikanlah ia kepada sesiapa yang mampu memgambil manfaat darinya.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
1 Februari 2010