Cara Membeli Emas Perak Patuh Syariah

Ditulis oleh Pakdi pada 22 May 2011 dalam Tip Kewangan

Syariat Islam secara prinsipnya adalah tetap dan tidak berubah sehingga hari kiamat. Apa yang dinamik adalah aplikasi sesuatu prinsip itu yang berubah mengikut peredaran zaman dan tempat. Misalnya pada zaman Nabi S.A.W, tidak ada urusniaga menerusi internet, tetapi itu tidak bermakna Islam tidak ada panduan untuk berurusniaga dalam talian.

Hukum Pembelian Emas menggunakan Matawang

Berdasarkan perbincangan dalam artikel Riba Disebalik Pembelian Emas yang lepas, mari kita lihat apakah aplikasi hukum yang diguna pakai pada hari ini berdasarkan prinsip-prinsip yang tetap itu tadi.

Memandangkan kebanyakan kita membeli emas dengan matawang kertas maka kita perlu memahami hukum penggunaan matawang kertas terlebih dahulu.

Hukum Matawang Kertas

Secara umumnya ulama berbeza pendapat dari sudut adakah matawang hanya terhad kepada emas dan perak sahaja. Sebahagian ulama berkata hanya emas dan perak sahaja yang menjadi matawang.

Manakala sebahagian ulama yang lain berkata apa-apa sahaja dapat menjadi matawang, selagi mana ia dapat berfungsi sebagai medium pertukaran yang diterima dalam masyarakat.

Hukum Matawang Kertas

Selepas emas tidak lagi menjadi sandaran matawang bermula dari 1971. Maka ulama-ulama semasa telah berbincang untuk mendepani situasi ini kerana medium pertukaran (medium of exchange) yang standard, adalah sesuatu yang penting dalam hidup kita semua.

Maka pada 1986 Akademi Fiqh Sedunia yang berpusat di Jeddah telah mengeluarkan fatwa. Sesungguhnya matawang kertas mempunyai kesan, dan sifat yang sama seperti matawang emas dan perak atau matawang bersandarkan emas dan perak.

Halal Digunakan Untuk Tujuan Tertentu

Justeru matawang kertas adalah halal digunakan untuk tujuan zakat, perniagaan dan lain-lain termasuklah hukum riba juga terguna pakai dalam penggunaan matawang kertas.

Akademi Fiqh Sedunia atau Majma Fiqh al-Islami merupakan badan fatwa antarabangsa yang membincangkan pelbagai isu berkaitan umat Islam. Manakala AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions) adalah badan fatwa antarabangsa yang fokus, terhadap isu-isu berkaitan kewangan dan ekonomi Islam.

Maka berdasarkan konsep Qiyas yang diterima pakai dalam situasi ini, maka matawang kertas merupakan barang ribawi yang mempunyai sama ‘illahnya dengan emas dan perak tetapi berbeza jenis.

Kerajaan-kerajaan negara umat Islam juga menerima pakai pandangan fatwa ini. Justeru adalah wajib untuk kita mengikut fatwa yang telah menjadi undang-undang negara.

Fatwa yang Disahkan Oleh Akademi Fiqh Sedunia

Keputusan Akademi Fiqh Sedunia ini diterima pakai oleh Majlis Syariah Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), yang berpusat di Bahrain pada tahun 2000.

Malah dokumentasi fatwa AAOIFI berkaitan urusniaga matawang ini, adalah dokumentasi fatwa yang pertama kerana medium pertukaran merupakan rukun penting dalam perniagaan.

Pembelian emas & perak melalui urusniaga matawang

Justeru pembelian atau pertukaran matawang kertas dengan emas dan perak wajib berlaku secara serah tunai, dan bayar tunai dalam satu sesi urusniaga tanpa ada sebarang penangguhan. Contohnya seperti berikut:

  1. RM 100 untuk membeli 1 gram emas mesti berlaku secara tunai.
  2. RM 1000 untuk membeli 250 gram perak mesti berlaku secara tunai.

Maka, kita mesti mengelakkan daripada membuat urusniaga emas secara tempah, sama ada bayar dulu hari ini dan dapat emas 7 hari kemudian, atau pun bayar dulu hari ini dan pos kemudian tanpa ada mekanisma urusniaga yang betul.

Kita juga jangan membeli secara hutang ataupun installment. Tunggu cukup duit dahulu baru beli.

Sekiranya kita mahu ‘menempah barang kemas’ pula, jual beli emas mesti berlaku secara tunai. Kemudian barulah urusan upah membuat barang kemas dibuat.

Bagaimana Urusniaga Emas Perak yang Patuh Syariah?

#1 – Emas dan Perak Mesti Ada

Emas & Perak mestilah ada

Sekiranya stok emas cuma ada 1025 gram, maka penjual emas hanya dapat menjual 1025 gram sahaja, walaupun permintaan melebihi dari jumlah yang ada. Penjual tidak boleh menjual emas yang dia tidak ada atas dasar tempahan.

Penjual juga tidak boleh menjual emas yang mempunyai sekatan tertentu seperti emas yang masih dalam pajakan atau gadaian (ar-rahnu). Selepas emas itu tiada sekatan lagi barulah ia boleh dijual seperti biasa.

Apa yang dibenarkan cuma janji sebelah pihak (wa’ad / promise) untuk membeli atau menjual emas dan bukan transaksi jual beli. Aplikasi wa’ad ini perlu diteroka dengan lebih terperinci, untuk mewujudkan mekanisma ‘lock’ harga yang patuh Syariah.

Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI, mengenai pertukaran matawang.

#2 – Bayar Secara Tunai

Pembayaran tunai tidak bermaksud mesti duit fizikal berubah tangan. Atas sebab-sebab tertentu duit fizikal tidak dapat dibawa, maka apa yang penting duit mesti cukup dalam akaun bank.

Kemudian kita dapat mengeluarkan cek, telegraph transfer, ATM transfer, debit card transfer mahupun internet banking transfer. ‘Kad kredit’ dari perbankan Islam yang berdasarkan kontrak Bai’ Inah mahupun Tawarruq, dapat digunakan untuk membeli emas dan perak.

Kerana ‘kad kredit’ perbankan Islam adalah berbeza prosesnya dengan kad kredit perbankan riba. Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI mengenai pertukaran matawang.

#3 – Serah Emas Perak Secara Tunai

Serah Emas Perak secara tunai

Penyerahan emas secara tunai juga tidak bermaksud emas dan perak fizikal berubah tangan. Penjual dapat memberikan resit atau sijil yang membuktikan kewujudan emas dan perak sama, dan status resit atau sijil ini perlu sama seperti geran hartanah.

Apa yang penting, sijil itu dikeluarkan berdasarkan emas dan perak yang memang ada dalam simpanan penjual, dan bukannya resit atau sijil emas yang belum ada lagi.

Selepas resit atau sijil ini dikeluarkan, maka barulah kita uruskan proses penghantaran emas perak fizikal kepada pembeli dengan cara yang dipersetujui.

Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #18 AAOIFI mengenai qabadh (posession).

Mekanisma urusiniaga ini dapat berlaku dalam urusniaga secara online mahupun offline. Cara yang paling baik adalah syarikat-syarikat pengeluar emas yang sudah kaya raya ini menubuhkan Majlis Syariah, yang terdiri daripada sekumpulan ulama’ yang pakar dalam bidang kewangan Islam.

Ini bagi membolehkan operasi jual beli syarikat disemak dan diaudit secara Syariah. Kepakaran mereka ini dapat mewujudkan mekanisma jual beli emas patuh Syariah, yang seragam untuk industri emas dan perak.

Ini adalah amat penting bagi memastikan umat Islam terselamat daripada aktiviti riba.

Ingat… Kenapa memilih menjadi kaya dengan jalan riba?

P.S. Artikel seterusnya membincangkan mengenai pelaburan forex dan numismatic pula!s

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (neeloyunusgnerk, digitalmoneyworld, Apih Marang)




No comments:

Post a Comment