Kenapa Memilih Menjadi Kaya Dengan Jalan Riba?

Ditulis oleh Pakdi pada 22 Mar 2011 dalam Tip Kewangan

Asal setiap sesuatu dalam urusan muamalat adalah dibolehkan melainkan ada dalil yang mengharamkannya. (Prinsip dalam kaedah fiqh)

Islam menetapkan prinsip asas hukum dalam urusan mualamat seperti aktiviti bisnes dan pelaburan adalah semua merupakan perkara yang harus. Apa yang dimaksudkan dengan hukum harus ini adalah mahu buat boleh, tidak mahu buat pun boleh. Terpulang kepada kita untuk buat apa yang kita mahu.

Kenapa Memilih Jalan Riba?

Macam bisnes burger, kita tidak wajib menjual burger dan pada masa yang sama ia juga bukan satu aktiviti yang haram. Maka sekiranya analisis kita menyatakan bisnes burger memberikan pulangan lumayan, maka sila lah buat bisnes burger. Kalau orang lain tidak bersetuju, maka dia tidak berdosa kerana tidak mahu buat bisnes burger sama seperti kita.

Justeru untuk menyatakan sesuatu itu haram dalam urusan muamalat maka mesti ada dalil atau pun bukti yang menunjukkan arahan yang melarang berdasarkan ayat Quran, hadis, ijma’ ulama dan qiyas. Dalam bahasa lainnya soalan yang betul adalah dengan bertanya:

“Kenapa main forex haram? Apakah sebabnya? Sila berikan dalil tuan.”

Urusan muamalat berbeza dengan urusan ibadat khusus yang mana kita tidak boleh mendirikan solat mengikut cara dan waktu sesuka hati kita melainkan mesti ada dalil atau pun bukti yang membenarkan kita beribadat berdasarkan ayat Quran, hadis, ijma’ ulama dan qiyas. Maka soalan dalam urusan ibadat khusus adalah berbeza iaitu:

Kenapa kita mesti membayar zakat? Apakah sebabnya? Sila berikan dalil tuan.

Wajib Ke Atas Orang Islam Menjauhi Riba

Ada 3 perkara besar yang haram kita buat dalam urusan bisnes dan pelaburan. Maka kita kena jauhkan dari melakukan 3 perkara besar ini. Ada banyak lagi cara lain untuk menjadi orang banyak duit dan seterusnya memperoleh berkat di dunia dan juga di akhirat.

Pertama, perkara paling besar yang mesti kita jauhkan sampai hari kiamat adalah riba. Riba haram kerana ada larangan yang jelas dalam Quran dan juga hadis. Proses pengharamannya berlaku selama 4 peringkat bermula dari ayat 39 surah Rum,  ayat 160-161 surah an-Nisa’, ayat 130 surah ali-‘Imran  sehinggalah ayat terakhir yang mengharamkan riba secara mutlak iaitu:

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah: 275)

Ayat ini telah mengingatkan sekiranya kita terlibat dalam riba serta menyatakan riba itu sama dengan bisnes maka kita akan dibangunkan pada hari akhirat kelak dalam keadaan meracau seperti orang yang dirasuk syaitan.

Pembelian Emas

Ayat lain menyusuli dengan menyatakan sekiranya kita masih terlibat dengan riba maka tindakan kita itu seperti kita mengisytiharkan peperangan dengan Allah dan Rasulnya. Adakah kita semua sanggup menjadi musuh kepada Allah dan Rasul hanya untuk mendapat keuntungan dunia yang sementara?

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (al-Baqarah: 279)

Proses Berhutang Dan Jual Beli Terpalit Riba?

Riba dari aspek bahasa adalah kenaikan. Namun bukan semua kenaikan adalah haram di sisi Islam. Justeru, riba dari aspek yang sebenarnya boleh kita fahami melalui dua kategori:

  1. Riba dalam hutang piutang
  2. Riba dalam urusan jual beli

Riba dalam urusan piutang adalah riba yang manusia bijak pandai tahu sebelum Nabi Muhammad S.A.W diutuskan lagi. Masyarakat bukan Islam pun memahami riba dalam urusan hutang piutang. Riba dalam hutang piutang mudah berlaku dalam pinjaman dan aktiviti jual beli secara berhutang.

Cara paling senang untuk kita terlibat dengan riba hutang piutang adalah dengan menjadi pelanggan bank konvensional. Aktiviti teras bisnes semua bank-bank konvensional adalah riba. Maka kita mesti menjadi pelanggan perbankan Islam sahaja kerana perbankan Islam mencipta produk mereka bebas dari riba hutang piutang. Walaupun produk dari perbankan konvensional dan perbankan Islam kelihatan sama, tetapi prosesnya adalah berbeza.

Pembelian Emas

Seekor ayam mati lalu digoreng dan dijadikan lauk. Ayam goreng yang halal adalah ayam yang sempurna sembelihannya sahaja. Ayam goreng halal dan ayam goreng haram kelihatan sama sahaja secara fizikal. Apa yang membezakan adalah proses sembelihan yang berlaku untuk mematikan ayam tersebut. Walaupun ayam-ayam goreng tadi kelihatan sama, tetapi keduanya tidak serupa. Saya telah menulis tentang dengan terperinci mengenai riba hutang piutang dalam buku Rancang Wang Dari Sekarang.

Pelajari Hukum Riba Sebelum Terlibat Dalam Bisnes!

Seterusnya Nabi Muhammad S.A.W menerangkan riba dengan lebih lanjut iaitu riba dalam jual beli. Riba ini tidak diketahui oleh sekalian manusia sebelum datangnya Islam. Hanya setelah Islam datang barulah ada keterangan dari hadis-hadis shahih yang menyatakan aktiviti jual beli emas, perak, matawang dan makanan ruji ada berlaku riba sekiranya syarat-syarat tertentu kita tidak patuh.

Justeru kita perlu mempelajari hukum riba sebelum mengambil keputusan terlibat dalam bisnes dan pelaburan berkaitan emas, perak, forex, numismatik misalnya. Jangan hanya kerana mengejar untung kita melupakan hukum hakam! Perkara ini akan kita bincangkan dalam artikel yang akan datang.

*Kredit gambar yang di ambil dari Flickr (Kath Brewerrasch2000)




1 comment: