Kenapa Memilih Menjadi Kaya Dengan Jalan Riba?

Ditulis oleh Pakdi pada 22 Mar 2011 dalam Tip Kewangan

Asal setiap sesuatu dalam urusan muamalat adalah dibolehkan melainkan ada dalil yang mengharamkannya. (Prinsip dalam kaedah fiqh)

Islam menetapkan prinsip asas hukum dalam urusan mualamat seperti aktiviti bisnes dan pelaburan adalah semua merupakan perkara yang harus. Apa yang dimaksudkan dengan hukum harus ini adalah mahu buat boleh, tidak mahu buat pun boleh. Terpulang kepada kita untuk buat apa yang kita mahu.

Kenapa Memilih Jalan Riba?

Macam bisnes burger, kita tidak wajib menjual burger dan pada masa yang sama ia juga bukan satu aktiviti yang haram. Maka sekiranya analisis kita menyatakan bisnes burger memberikan pulangan lumayan, maka sila lah buat bisnes burger. Kalau orang lain tidak bersetuju, maka dia tidak berdosa kerana tidak mahu buat bisnes burger sama seperti kita.

Justeru untuk menyatakan sesuatu itu haram dalam urusan muamalat maka mesti ada dalil atau pun bukti yang menunjukkan arahan yang melarang berdasarkan ayat Quran, hadis, ijma’ ulama dan qiyas. Dalam bahasa lainnya soalan yang betul adalah dengan bertanya:

“Kenapa main forex haram? Apakah sebabnya? Sila berikan dalil tuan.”

Urusan muamalat berbeza dengan urusan ibadat khusus yang mana kita tidak boleh mendirikan solat mengikut cara dan waktu sesuka hati kita melainkan mesti ada dalil atau pun bukti yang membenarkan kita beribadat berdasarkan ayat Quran, hadis, ijma’ ulama dan qiyas. Maka soalan dalam urusan ibadat khusus adalah berbeza iaitu:

Kenapa kita mesti membayar zakat? Apakah sebabnya? Sila berikan dalil tuan.

Wajib Ke Atas Orang Islam Menjauhi Riba

Ada 3 perkara besar yang haram kita buat dalam urusan bisnes dan pelaburan. Maka kita kena jauhkan dari melakukan 3 perkara besar ini. Ada banyak lagi cara lain untuk menjadi orang banyak duit dan seterusnya memperoleh berkat di dunia dan juga di akhirat.

Pertama, perkara paling besar yang mesti kita jauhkan sampai hari kiamat adalah riba. Riba haram kerana ada larangan yang jelas dalam Quran dan juga hadis. Proses pengharamannya berlaku selama 4 peringkat bermula dari ayat 39 surah Rum,  ayat 160-161 surah an-Nisa’, ayat 130 surah ali-‘Imran  sehinggalah ayat terakhir yang mengharamkan riba secara mutlak iaitu:

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkaranya terserahlah kepada Allah dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya. (al-Baqarah: 275)

Ayat ini telah mengingatkan sekiranya kita terlibat dalam riba serta menyatakan riba itu sama dengan bisnes maka kita akan dibangunkan pada hari akhirat kelak dalam keadaan meracau seperti orang yang dirasuk syaitan.

Pembelian Emas

Ayat lain menyusuli dengan menyatakan sekiranya kita masih terlibat dengan riba maka tindakan kita itu seperti kita mengisytiharkan peperangan dengan Allah dan Rasulnya. Adakah kita semua sanggup menjadi musuh kepada Allah dan Rasul hanya untuk mendapat keuntungan dunia yang sementara?

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: Akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat) dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. (al-Baqarah: 279)

Proses Berhutang Dan Jual Beli Terpalit Riba?

Riba dari aspek bahasa adalah kenaikan. Namun bukan semua kenaikan adalah haram di sisi Islam. Justeru, riba dari aspek yang sebenarnya boleh kita fahami melalui dua kategori:

  1. Riba dalam hutang piutang
  2. Riba dalam urusan jual beli

Riba dalam urusan piutang adalah riba yang manusia bijak pandai tahu sebelum Nabi Muhammad S.A.W diutuskan lagi. Masyarakat bukan Islam pun memahami riba dalam urusan hutang piutang. Riba dalam hutang piutang mudah berlaku dalam pinjaman dan aktiviti jual beli secara berhutang.

Cara paling senang untuk kita terlibat dengan riba hutang piutang adalah dengan menjadi pelanggan bank konvensional. Aktiviti teras bisnes semua bank-bank konvensional adalah riba. Maka kita mesti menjadi pelanggan perbankan Islam sahaja kerana perbankan Islam mencipta produk mereka bebas dari riba hutang piutang. Walaupun produk dari perbankan konvensional dan perbankan Islam kelihatan sama, tetapi prosesnya adalah berbeza.

Pembelian Emas

Seekor ayam mati lalu digoreng dan dijadikan lauk. Ayam goreng yang halal adalah ayam yang sempurna sembelihannya sahaja. Ayam goreng halal dan ayam goreng haram kelihatan sama sahaja secara fizikal. Apa yang membezakan adalah proses sembelihan yang berlaku untuk mematikan ayam tersebut. Walaupun ayam-ayam goreng tadi kelihatan sama, tetapi keduanya tidak serupa. Saya telah menulis tentang dengan terperinci mengenai riba hutang piutang dalam buku Rancang Wang Dari Sekarang.

Pelajari Hukum Riba Sebelum Terlibat Dalam Bisnes!

Seterusnya Nabi Muhammad S.A.W menerangkan riba dengan lebih lanjut iaitu riba dalam jual beli. Riba ini tidak diketahui oleh sekalian manusia sebelum datangnya Islam. Hanya setelah Islam datang barulah ada keterangan dari hadis-hadis shahih yang menyatakan aktiviti jual beli emas, perak, matawang dan makanan ruji ada berlaku riba sekiranya syarat-syarat tertentu kita tidak patuh.

Justeru kita perlu mempelajari hukum riba sebelum mengambil keputusan terlibat dalam bisnes dan pelaburan berkaitan emas, perak, forex, numismatik misalnya. Jangan hanya kerana mengejar untung kita melupakan hukum hakam! Perkara ini akan kita bincangkan dalam artikel yang akan datang.

*Kredit gambar yang di ambil dari Flickr (Kath Brewerrasch2000)




Cara Membeli Emas Perak Patuh Syariah

Ditulis oleh Pakdi pada 22 May 2011 dalam Tip Kewangan

Syariat Islam secara prinsipnya adalah tetap dan tidak berubah sehingga hari kiamat. Apa yang dinamik adalah aplikasi sesuatu prinsip itu yang berubah mengikut peredaran zaman dan tempat. Misalnya pada zaman Nabi S.A.W, tidak ada urusniaga menerusi internet, tetapi itu tidak bermakna Islam tidak ada panduan untuk berurusniaga dalam talian.

Hukum Pembelian Emas menggunakan Matawang

Berdasarkan perbincangan dalam artikel Riba Disebalik Pembelian Emas yang lepas, mari kita lihat apakah aplikasi hukum yang diguna pakai pada hari ini berdasarkan prinsip-prinsip yang tetap itu tadi.

Memandangkan kebanyakan kita membeli emas dengan matawang kertas maka kita perlu memahami hukum penggunaan matawang kertas terlebih dahulu.

Hukum Matawang Kertas

Secara umumnya ulama berbeza pendapat dari sudut adakah matawang hanya terhad kepada emas dan perak sahaja. Sebahagian ulama berkata hanya emas dan perak sahaja yang menjadi matawang.

Manakala sebahagian ulama yang lain berkata apa-apa sahaja dapat menjadi matawang, selagi mana ia dapat berfungsi sebagai medium pertukaran yang diterima dalam masyarakat.

Hukum Matawang Kertas

Selepas emas tidak lagi menjadi sandaran matawang bermula dari 1971. Maka ulama-ulama semasa telah berbincang untuk mendepani situasi ini kerana medium pertukaran (medium of exchange) yang standard, adalah sesuatu yang penting dalam hidup kita semua.

Maka pada 1986 Akademi Fiqh Sedunia yang berpusat di Jeddah telah mengeluarkan fatwa. Sesungguhnya matawang kertas mempunyai kesan, dan sifat yang sama seperti matawang emas dan perak atau matawang bersandarkan emas dan perak.

Halal Digunakan Untuk Tujuan Tertentu

Justeru matawang kertas adalah halal digunakan untuk tujuan zakat, perniagaan dan lain-lain termasuklah hukum riba juga terguna pakai dalam penggunaan matawang kertas.

Akademi Fiqh Sedunia atau Majma Fiqh al-Islami merupakan badan fatwa antarabangsa yang membincangkan pelbagai isu berkaitan umat Islam. Manakala AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions) adalah badan fatwa antarabangsa yang fokus, terhadap isu-isu berkaitan kewangan dan ekonomi Islam.

Maka berdasarkan konsep Qiyas yang diterima pakai dalam situasi ini, maka matawang kertas merupakan barang ribawi yang mempunyai sama ‘illahnya dengan emas dan perak tetapi berbeza jenis.

Kerajaan-kerajaan negara umat Islam juga menerima pakai pandangan fatwa ini. Justeru adalah wajib untuk kita mengikut fatwa yang telah menjadi undang-undang negara.

Fatwa yang Disahkan Oleh Akademi Fiqh Sedunia

Keputusan Akademi Fiqh Sedunia ini diterima pakai oleh Majlis Syariah Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), yang berpusat di Bahrain pada tahun 2000.

Malah dokumentasi fatwa AAOIFI berkaitan urusniaga matawang ini, adalah dokumentasi fatwa yang pertama kerana medium pertukaran merupakan rukun penting dalam perniagaan.

Pembelian emas & perak melalui urusniaga matawang

Justeru pembelian atau pertukaran matawang kertas dengan emas dan perak wajib berlaku secara serah tunai, dan bayar tunai dalam satu sesi urusniaga tanpa ada sebarang penangguhan. Contohnya seperti berikut:

  1. RM 100 untuk membeli 1 gram emas mesti berlaku secara tunai.
  2. RM 1000 untuk membeli 250 gram perak mesti berlaku secara tunai.

Maka, kita mesti mengelakkan daripada membuat urusniaga emas secara tempah, sama ada bayar dulu hari ini dan dapat emas 7 hari kemudian, atau pun bayar dulu hari ini dan pos kemudian tanpa ada mekanisma urusniaga yang betul.

Kita juga jangan membeli secara hutang ataupun installment. Tunggu cukup duit dahulu baru beli.

Sekiranya kita mahu ‘menempah barang kemas’ pula, jual beli emas mesti berlaku secara tunai. Kemudian barulah urusan upah membuat barang kemas dibuat.

Bagaimana Urusniaga Emas Perak yang Patuh Syariah?

#1 – Emas dan Perak Mesti Ada

Emas & Perak mestilah ada

Sekiranya stok emas cuma ada 1025 gram, maka penjual emas hanya dapat menjual 1025 gram sahaja, walaupun permintaan melebihi dari jumlah yang ada. Penjual tidak boleh menjual emas yang dia tidak ada atas dasar tempahan.

Penjual juga tidak boleh menjual emas yang mempunyai sekatan tertentu seperti emas yang masih dalam pajakan atau gadaian (ar-rahnu). Selepas emas itu tiada sekatan lagi barulah ia boleh dijual seperti biasa.

Apa yang dibenarkan cuma janji sebelah pihak (wa’ad / promise) untuk membeli atau menjual emas dan bukan transaksi jual beli. Aplikasi wa’ad ini perlu diteroka dengan lebih terperinci, untuk mewujudkan mekanisma ‘lock’ harga yang patuh Syariah.

Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI, mengenai pertukaran matawang.

#2 – Bayar Secara Tunai

Pembayaran tunai tidak bermaksud mesti duit fizikal berubah tangan. Atas sebab-sebab tertentu duit fizikal tidak dapat dibawa, maka apa yang penting duit mesti cukup dalam akaun bank.

Kemudian kita dapat mengeluarkan cek, telegraph transfer, ATM transfer, debit card transfer mahupun internet banking transfer. ‘Kad kredit’ dari perbankan Islam yang berdasarkan kontrak Bai’ Inah mahupun Tawarruq, dapat digunakan untuk membeli emas dan perak.

Kerana ‘kad kredit’ perbankan Islam adalah berbeza prosesnya dengan kad kredit perbankan riba. Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #1 AAOIFI mengenai pertukaran matawang.

#3 – Serah Emas Perak Secara Tunai

Serah Emas Perak secara tunai

Penyerahan emas secara tunai juga tidak bermaksud emas dan perak fizikal berubah tangan. Penjual dapat memberikan resit atau sijil yang membuktikan kewujudan emas dan perak sama, dan status resit atau sijil ini perlu sama seperti geran hartanah.

Apa yang penting, sijil itu dikeluarkan berdasarkan emas dan perak yang memang ada dalam simpanan penjual, dan bukannya resit atau sijil emas yang belum ada lagi.

Selepas resit atau sijil ini dikeluarkan, maka barulah kita uruskan proses penghantaran emas perak fizikal kepada pembeli dengan cara yang dipersetujui.

Tuan puan yang mahukan penjelasan terperinci dapat merujuk kepada Syariah Standard #18 AAOIFI mengenai qabadh (posession).

Mekanisma urusiniaga ini dapat berlaku dalam urusniaga secara online mahupun offline. Cara yang paling baik adalah syarikat-syarikat pengeluar emas yang sudah kaya raya ini menubuhkan Majlis Syariah, yang terdiri daripada sekumpulan ulama’ yang pakar dalam bidang kewangan Islam.

Ini bagi membolehkan operasi jual beli syarikat disemak dan diaudit secara Syariah. Kepakaran mereka ini dapat mewujudkan mekanisma jual beli emas patuh Syariah, yang seragam untuk industri emas dan perak.

Ini adalah amat penting bagi memastikan umat Islam terselamat daripada aktiviti riba.

Ingat… Kenapa memilih menjadi kaya dengan jalan riba?

P.S. Artikel seterusnya membincangkan mengenai pelaburan forex dan numismatic pula!s

Kredit gambar yang diambil dari Flickr (neeloyunusgnerk, digitalmoneyworld, Apih Marang)




Dinar Emas Elak Manipulasi(Nik Aziz & Mahathir)


BERITA DIPETIK DARI HARAKAHDAILY 

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa anggota gabungan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) supaya menggunakan Dinar Emas untuk menghalang Amerika Syarikat dan Yahudi terus menguasai ekonomi dunia. 

Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi, Nik Aziz mempersoalkan jika Kesatuan Eropah boleh menggunakan Euro sebagai matawang sendiri, mengapa tidak negara OIC. 

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan, penggunaan dinar boleh menjadi teras kepada penyatuan negara umat Islam dari sudut ekonomi untuk bangkit dari dibuli penjajahan kuasa besar dunia. 

Nik Aziz turut mengesyorkan kerajaan Malaysia, supaya mengambil langkah positif, meneruskan cadangan dan landasan yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC. 

"Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata," tegasnya. Kerajaan Negeri Kelantan menurutnya mengorak langkah pada tahun lalu untuk memperkenalkan dinar emas kepada rakyatnya. 

Beliau turut berbangga kerana pelancaran dinar emas mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Kelantan dan pelancong yang berkunjung ke negeri Serambi Mekah itu. 

Nik Aziz berkata demikian dalam Majlis Makan Malam sempena 'Persidangan Antarabangsa Mengenai Ekonomi Gold Dinar' yang dianjurkan di PWTC pada 24 dan 25 Julai ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi www.kelantan.tv. 

Selain Dr Mahathir sebagai pemidato utama, persidangan dua hari itu mengemukakan beberapa tokoh ekonomi Islam antarabangsa antaranya, Profesor Madya Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Profesor Masudul Alam Choudhury, Sheikh Imran N. Hosein, Umar Ibrahim Vadillo, dan lain-lain. 

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib-naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood. 

Teks penuh ucapan Tuan Guru Nik Aziz seperti berikut: 

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, longgokan harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda, lagi terlatih, dan binatang-binatang serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia(yang bersifat sementara). dan (ingatlah), pada sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga yang kekal abadi).
(Surah Ali Imran, ayat 14) 


Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wa taala, kerana hanya dengan limpah izin dan inayah-Nya sahaja, kita dapat menjayakan majlis makan malam, sempena "Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa" yang sangat penting lagi amat bersejarah ini.
 
Dato'-dato', Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekelian, 

Pada tanggal 27 Syaaban 1427 hijriah, bersamaan 20 September 2006 yang lalu, Kerajaan Negeri Kelantan telah mudahkan kepada rakyat Kelantan amnya, dengan penjualan kepingan-kepingan dinar yang diperbuat daripada emas tulen 22 karat, bersamaan seberat 4.25 gram. 

Pelancaran emas dinar Kelantan tersebut, bukanlah bermaksud Kerajaan Negeri Kelantan mahu menggantikan penggunaan ringgit Malaysia dengan dinar! 

Kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat sekalipun, tidak mampu, malah tidak ada kuasa untuk berbuat demikian. Bahkan, kerana wujudnya perjanjian di peringkat antarabangsa, yang memutuskan bahawa emas dan perak tidak lagi boleh dijadikan mata wang dalam ekonomi semasa. 

Tindakan mewadahkan dinar yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan, sama sekali tidak bertentangan dengan peraturan dan amalan bank negara, kerana pada tahun 2003 yang lalu, Bank Negara sendiri pernah memperkenalkan wadah dinar kepada rakyat. 

Sehingga hari ini, tuan-tuan dan puan-puan masih boleh membeli dinar, yang ditempah dan dijual oleh The Royal Mint dengan tiada apa-apa masalah. 

Sememangnya budaya ekonomi Islam adalah berteraskan dinar dan dirham. Dalam al-Quranul karim, perkataan dinar dan dirham ada termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 75 dan juga dalam surah Yusof ayat 20. 

Maksudnya:
Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya.
(Surah Ali Imran : 75)
Maksudnya:
Dan (setelah berlaku perundingan), dan adik beradik Nabi Yusuf telah menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja...
Kedua-dua ayat al-Quran ini menceritakan, bahawa penggunaan wang dinar dan dirham, telah pun berlangsung sejak ribuan tahun, sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w lagi. 

Selain daripada ayat al-Quran, terdapat banyak hadis-hadis yang menceritakan, tentang penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang, sehingga ke zaman Rasulullah s.a.w, sebagaimana sabda baginda : 

maksudnya:
"Dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, dinar yang engkau belanjakannya dalam membebaskan hamba. Dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin. dan dinar yang engkau belanjakannya untuk ahli keluarga kamu. Yang paling besar pahalanya (di sisi Allah) ialah dinar yang kamu belanjakannya untuk (memenuhi keperluan dan membangunkan potensi hidup) ahli keluarga kamu.
Dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis di atas membuktikan bahawa, asas sistem matawang yang digunakan di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, sejak zaman nabi-nabi yang terdahulu, sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w, adalah dalam bentuk mata wang dinar dan dirham. 

Bahkan sistem inilah, yang telah diamalkan di sepanjang pemerintahan Khulafa' ar-Rasyidin, sehingga berakhirnya zaman pemerintahan kerajaan atau Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 Masihi.(Untuk ditukar dengan sistem sekular Ataturk dan telah menimbulkan seribu satu masalah kepada al-insan). 

Sejarah juga telah membuktikan bahawa negeri Kelantan berada di bawah jajahan takluk Kerajaan Siam suatu ketika dahulu, pihak Kerajaan Kelantan sentiasa membayar ufti kepada kerajaan Siam pada setiap tahun, dengan menghantarkan sebilangan kepingan-kepingan wang emas, yang digubah dalam bentuk bunga emas. 

Ini membuktikan bahawa, penggunaan wang dinar emas bukan hanya digunakan umat Islam di Timur Tengah sahaja, tetapi telah digunakan secara meluas sehingga ke Adia Tenggara, termasuk Negeri Kelantan sejak ratusan tahun yang lalu. 

Para Hadirin sekalian, 

Saranan supaya kembali kepada penggunaan wang dinar emas, sebagai teras ekonomi pada zaman globalisasi ini, bukanlah dimonopoli oleh penganut agama Islam sahaja.
Bahkan ramai juag ahli-ahali ekonomi dari kalangan bukan, yang inginkan wang komoditi, kahsnya dalam bentuk kepingan emas dan perak kerana kestabilan dan jaminan kebebasan yang dikandungnya. 

Mereka berpendapat, alasan utama mengapa sistem wang komoditi seperti dinar emas, tidak dibenarkan oleh pihak-pihak tertentu, bukanlah disebabkan kekurangan kemahiran teknikal tetapi kerana wang komoditi mampu menggantikan sistem monetari konvensional. 

Oleh kerana penggantian tersebut boleh menjadi ancaman besar, khasnya kepada kepentingan ekonomi Amerika dan Yahudi sedunia menyebabkan pihak-pihak yang berkepentingan itu gemar membuat alasan bahawa kononnya jika emas dan dinar dijadikan sebagai matawang ia akan mudah tercicir, atau poket akan cepat tembus, kerana berat membawa wang dari emas. 

Dato'-dato', datin-datin, tuan-tuan, dan puan-puan yang dihormati sekalian, 

Emas telah menjadi piawai bagi mata wang dunia, selama beribu-ribu tahun, sehinggalah ia diganti kepada wang kertas dollar hanya pada awal tahun 1970-an. Wang dollar tidak lagi disandarkan kepada emas, tetapi nilainya turun naik mengikut gelora permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing. 

Justeru, kita perlu melihat usaha pengembalian dinar dan dirham ini, sebagai usaha menegakkan sistem ekonomi yang lebih adil dan lebih telus. 

Bukannya satu agenda untuk meraih populariti. Bahkan sebagai satu tanggungjawab untuk mengembalikan semuala kefahaman umat Islam khasnya, berhubung peradaban dan sejarah penggunaan dinar dan dirham, serta bertujuan untuk memberi kesedaran dan keyakinan, terhadap penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada sistem matawang, terutamanya dengan mempelopori penggunaan dinar sebagai simpanan, mas kahwin, membayar zakat, pemberian hadiah, dan sedekah untuk bekal akhirat sebagai harta cagaran di pusat-pusat gadaian ar-Rahnu, sebagai upah kepada perkhidmatan atau sumabangan yang tertentu dan sebagainya. 

Saya telah difahamkan bahawa sehingga ke tarikh ini, sejumlah lebih RM600 ratus ribu nilaian wang emas dinar Kelantan, telah dibeli oleh masyarakat umum. dan yang sangat menariknya, pelancong-pelancong dan pelawat-pelawat dari luar Kelantan juga, berebut-rebut untuk memiliki dinar emas keluaran kerajaan Kelantan. 

Sama ada sebagai cenderamata, mahupun untuk lain-lain kegunaan mengikut keperluan masing-masing. Ini semua membuktikan bahawa, usaha ke arah mengembalikan semula penggunaan mata wang dinar, mempunyai masa depan yang amat cerah, dan akan mendapat sokongan daripada pelbagai masyarakat di seluruh dunia, tanpa mengira agama, bangsa, bahasa dan budaya. 

Para hadirin sekalian, 

Saya selaku Ketua Kerajaan Negeri Kelantan, akan terus memberi sokongan yang sepenuhnya, walaupun dalam bidang yang terhad kepada perjuangan "Gold Dinar Economy" kerana ia merupakan satu perjuangan suci, yang dapat menyatukan dan mendaulatkan kembali umat Islam serta negara-negara kecil sedunia, daripada terus dijajah dan dibuli oleh kuasa besar ekonomi dunia. 

Saya juga mengesyorkan supaya kerajaan Malaysia mengambil supaya kerajaan Malaysia mengambil langkah positif, dengan meneruskan cadangan dan landasan yang telah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC. 

Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata.Ia sebaliknya mengandungi kemaslahatan umum yang bersifat sejagat, yang perlu diperjuangkan secara konsisten oleh kita semua. Jika negara-negara Kesatuan Eropah boleh menggunakan matawang mereka sendiri, dengan nama mata wang Euro, mengapa tidak kita negara-negara OIC menggunakan mata wang dinar? 

Saya serahkan kepada pakar-pakar ekonomi kita, untuk terus berjuang memberi kefahaman kepada masyarakat Islam, terutamanya pimpinan dan golongan cendikiawan. 

Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur persidangan ini, dan juga semua pembentang kertas kerja, sama ada dari luar negara mahupun dari dalam negara, yang sama-sama telah bersatu tenaga dan idea, dalam menjayakan "Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa," yang sangat penting lagi sangat bersejarah ini. - mks.

 

a
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun urusniaga menggunakan dinar emas boleh mengelak manipulasi dan penipuan, tetapi malangnya tiada negara, termasuk negara Islam yang mahu melakukannya.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Emas Dinar 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.


Beliau berkata, seketika dahulu Malaysia pernah mahu menggunakan dinar emas dalam urusniaga tetapi tidak berjaya dilaksanakan kerana tiada negara lain yang sedia menjalankan urusniaga menggunakannya.

Bagaimanapun, beliau tidak membuat cadangan khusus supaya kerajaan menggunakan dinar dalam urusniaganya.

"Tetapi kita masih boleh melaksanakannya hari ini kerana Dolar Amerika tidak ada nilai," katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, dinar emas tidak sama dengan matawang kerana kerana ia tidak boleh dimanipulasi di pasaran semasa.

Katanya, dinar juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dari urusniaga harian sehingga kepada urusan perkahwinan dan ibadah haji.

Bagaimanapun, katanya, untuk menjadikan dinar emas sebagai wang alternatif perniagaan bukanlah mudah kerana ia boleh menyebabkan ekonomi negara gagal atau musnah.

Sementara itu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata, sekalipun Malaysia menggunakan dinar emas, namun sistem perdagangan lama terus digunakan.

"Apabila kita memperkenalkan perbankan Islam, sitem perbankan lama masih dikekalkan," katanya.

Beliau berkata, Bank Pusat patut menerima bayaran dari pengimport di dalam negeri dan dan digunakan untuk membayar kepada pengekport dari negara sama.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, dinar emas masih mempunyai masalah iaitu dari segi pengangkutan kerana ia sangat berisiko.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, umat Islam hari ini menjadi lebih kaya dari sebelumnya, khususnya dari segi pendapatan dalam dolar Amerika, tetapi tidak menggunakan sistem perbankan ataupun atau wang untuk kepentingan mereka.

Menurut Dr Mahathir, mereka sebaliknya menyimpan wang di negara luar khususnya di Amerika yang digunakan oleh kuasa besar itu untuk membunuh orang Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan.

"Saya kira para ulama perlu mengeluarkan fatwa bagaimanakah hukumnya orang Islam yang menyimpan wang di Amerika yang kemudiannya digunakan untuk membunuh orang Islam sendiri," katanya.

Turut serta dalam persidangan yang dianjurkan Institut Penyelidikan dan Kajian Startegik Kelantan (KRISS) dengan kerjasama Marslio adalah penasihat-penasihat kewangan Bank-Bank tempatan, pakar-pakar ekonomi luar negeri dan tempatan serta pelajar-pelajar ekonomi Universiti tempatan dan antarabangsa.

Penciptaan Duit Kertas Moden, Hukum & Forex Trading

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman

Apa itu duit kertas yang ada di sekeliling kita hari ini dan bagaimana ia dicipta ? Siapa yang mencetaknya dan atas dasar apa?

Bukan proses pengilangannya yang dimaksudkan tetapi adalah di atas asas apa? bersandarkan kepada apa? siapa dan bagaimana nilainya terhasil jika bukan dari emas dan perak?

Penulisan ini akan cuba memberikan sedikit gambaran mudah berkenaan hal ini, diikuti dengan sedikit ulasan para ulama tentangnya. Ia adalah isu yang rumit untuk diringkas dan dipermudahkan kepada kefahaman awam, namun saya cuba setakat yang termampu. Sebarang tambahan penjelasan dari mereka yang pakar adalah dialukan.

Perlu diingat, tulisan ini ditujukan kepada merkera yng bukan specialize di bidang ini, maka saya tidak pergi kepada perincian dalam banyak perkara bagi mengelakkan kekeliruan kefahaman. Bagi mereka yang pakar juga, saya nasihatkan anda bahawa tulisan ini tidak menjanjikan sebarang ilmu baru buat anda.

emas
APA ITU DUIT?
Secara mudahnya, semua item yang diterima umum sebagai perantara (medium of exchange) untuk pertukaran sesuatu barang dan khidmat, ia boleh dianggap sebagai duit. 

Ada yang menggunakan batu tertentu, kulit kerang, garam sebagai duit. Kerajaan Roman memulakan penggunaan siling emas (denarius) and Parsi menggunakan koin perak (drachma) sebagai matawang mereka. Menurut sejarah, semasa kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w , baginda berterusan menggunakan dua jenis matawang Roman dan Parsi ini dan dikenali sebagai Dinar ( emas) dan Dirham ( perak).

Selain itu wujud juga matawang jenis lain yang dihasilkan dari tembaga, dan lain-lain barangan bernilai seperti permata dan ain-lain. Sejarah membuktikan, penggunaan emas dan perak sebagai matawang telah diiktiraf oleh Nabi s.a.w dan para sahabat baginda dan telah memainkan peranan yang amat penting sebagai matawang. Sehingga hukum berkaitannya disebut khusus oleh Nabi s.a.w.

Dalam perkembangan sistem ekonomi pelbagai kerajaan di dunia, mereka berterusan menggunakan matawang dari emas dan perak ini sehinggalah ia sedikit diubah bagi menambah kemudahan penggunaannya. Perubahan paling ketara bermula pada tahun 1971. Penerangan selanjutnya berkenaan hal ini akan menyusul.

FUNGSI DUIT 

Apabila melihat kepada fungsi duit, kebanyakan penulis-penulis ekonomi dan kewangan akan menggaruskan berikut :-

1)      Medium of exchange
Perantara kepada urusan jual beli barang dan khidmat. Inilah fungsi duit yang pertama.
Dahulunya, orang menggunakan sistem barter (atau muqayadhah iaitu tukar barang dengan barang), Oleh sebab itu, setiap pembeli dan penjual mesti mencari orang yang boleh bertukar dengannya. Ini amat sukar.
Sebagai contoh Ahmad mempunyai sebuah kereta tetapi berkehendakkan kepada sebuah van. Ali memiliki van dan berkehendakkan kepada sebuah kereta. Bagaimana keduanya boleh bertemu jika kedua-duanya saling tidak mengenali dan berada di kawasan berbeza?.
Sememangnya amat rumit, hasil dari itu wujulah matawang atau duit. Ia akan berfungsi sebagai perantara kepada hasrat Ahmad dan kehendak Ali. Kedua-dua mereka boleh menjualkan kereta dan van masing-masing dan menerima sejumlah wang dari pembeli masing-masing di kawasan masing-masing. Seterusnya wang yang diperolehi boleh digunakan untuk membeli kereta dan van yang masing-masing inginkan tanpa perlu bertemu.
2)      Store of value
Duit juga berfungsi sebagai pemegang nilai untuk masa akan datang. Untuk itu ia sepatutnya mempunyai nilai tersendiri serta boleh dirujuk dan tidak kerap berubah. Hanya dengan itu, ia memegang nilai untuk beberapa tempoh masa dan boleh pula dirujuk.
Sebagai contoh, emas, kambing dan lain-lain lagi. Namun hari ini, wang kertas telah dibebankan dengan fungsi ini walalupun sebenarnya ia tidak layak. Akan diulas kemudian.
Sebagai contoh, katalah emas satu gram boleh ditukar dengan 20 kg beras. Dalam tempoh dua tahun, boleh dirujuk kepada nilai emas satu gram tadi, sama ada ia masih boleh membeli 20 kg beras atau mungkin lebih lagi. Justeru, harga barangan lain boleh dinilai dan disandar kepada nilai emas iaitu duit.
Dalam konteks duit kertas moden hari ini pula, wang berjumlah RM 5 pada 1 Julai 2008 boleh membeli sekilo ayam, dan dalam tempoh beberapa tahun akan datang jumlah yang sama sepatutnya masih boleh membeli kuasa beli yang sama iaitu seklio ayam. Itulah fungsi duit, iaitu mampu mengekalkan nilainya bagi memberikan kuasa beli pada masa akan datang.
3)      Unit of account
Ia diperlukan untuk menentukan dan mengetahui nilai sesuatu barang, agar proses pertukaran hak milik (jual beli) dapat dijalankan dengan berkesan.
Sebagai contoh, sebuah laptop, bagaimana kita ingin menyebut berkenaan nilai dan harganya jikalau terdapat pembeli?. Adakah dengan saiznya?, beratnya atau apa?. Sudah tentu kita memerlukan satu nilai kira-kira khusus yang boleh difahami oleh pembeli dan juga penjual, maka itulah fungsi duit. Bertindak sebagai unit kira-kira (unit of account), iaitu kita tahu nilai dan harga laptop tadi nya adalah RM 3500. Itulah unit of account.
Untuk memenuhi tiga tujuan dan fungsi duit di atas, ia memerlukan syarat berikut bagi menjadi duit yang berkesan :-
  1. Standardizable - nilainya boleh ditentukan dengan mudah.
  2. Diterima meluas - punyai nilai tersendiri atau hasil penetapan oleh undang-undang.
  3. Divisible - Punyai nilai yang boleh dibahagi-bahagikan untuk proses tukaran.
  4. Mobile - Mudah dibawa ke sana ke mari.
  5. Stable and durable - Stabil dan tidak mudah hancur, musnah dan hilang yang diakibatkan oleh struktur bentuk sendiri, sebagai contoh tidak seperti aiskrim yang boleh cair.
BERKENAAN PENCIPTAAN WANG
Saya juga sertakan sedikit petikan berkenaan sejarah penciptaan wang ‘money creation' agar kita dapat memahami hakikat duit kertas yang berada di dalam poket kita hari ini dan apakah pendirian Islam berkenaannya. Untuk memahami serba sedikit berkenaan duit kertas hari ini, beberapa perkara berikut mestilah difahami :-
1)                  SISTEM BRETTONS WOODS
Perbincangan berkenaan matawang kertas sukar dipisahkan dari info berkenaan sistem Bretton Woods, ia adalah satu persidangan antarabangsa selepas Peperangan Dunia Kedua, membincangkan kaedah terbaik untuk membangunkan semula ekonomi dunia yang meleset teruk akibat perang. Hasil dari persidangan ini, lahirlah Bank Dunia (world bank) dan juga International Monetary Fund (IMF). [1]

Dalam perkara matawang, keputusan mereka memperkenalkan matawang kertas yang mempunyai nilai tukaran yang tetap (fixed exchange rate). Nilai United States Dollar telah diikat dengan 1/35 dari troy ounce (888.671 milligram emas), kemudian matawang dari negara-negara lain pula diikat dengan nilai US Dollar.

Pihak kerajaan AS ketika itu pula berjanji akan membolehkan tebus tuntut (redeemable) setiap USD yang ada di tangan mana-mana pihak kepada emas sebenar. 

Persidangan Bretton Woods padatahun 1944 ini membawa kepada kewujudan wang yang disandar dan diikat kepada emas.  Ia dinamakan gold backed paper money, iaitu duit dalam bentuk kertas sebagai ganti kepada matawang emas, ia dijangka lebih baik kerana lebih ringan, mudah untuk dibawa serta dipinda dan disimpan. Ia juga dikenali sebagai representative money, kerana ia mewakili sejumlah emas atau perak yang berada di dalam simpanan bank.

Pada tahun 1971, perjanjian tadi telah dibatalkan, antara puncanya adalah disebabkan oleh jumlah emas fizikal yang tidak mencukupi untuk menampung lambakan wang kertas di dalam pasaran. Memang sepatutnya setiap matawang yang dicetak mestilah terdapat emas di belakangnya.  

Namun, masalah bermula apabila pihak kerajaan USA mencetak matawang kertas yang lebih banyak dari jumlah emas fizikal yang berada di dalam simpanannya. Tindakannya itu dinamakan fractional reverse system. Sistem dan istilah ini MESTI difahami bagi melengkapkan kefahaman anda berkenaan penciptaan duit.

Perlu diketahui juga, bahawa wang kertas USD cetakan US ini boleh ditebus dengan emas fizikal bagi mana-mana pihak antarabangsa tetapi tidak bagi rakyat mereka. Hasilnya, kerajaan Perancis menuntut emas fizikal apabila membawa sejumlah besar wang kertas US Dollar. Keadaan ini membimbangkan US kerana jumlah emasnya yang terhad serta juga bimbang tindakan Perancis akan ditiru oleh kerajaan negara lain. Jika ini berlaku, kerajaan US akan dipenuhi dengan duit kertas tanpa nilai emas lagi.

2)                   FRACTIONAL RESERVE BANKING AND REQUIREMENT
Kerajaan US memberikan gambaran berikut untuk menerangkan istilah ini dan mengapa ia diperlukan:

The fact that banks are required to keep on hand only a fraction of the funds deposited with them is a function of the banking business. 

Banks borrow funds from their depositors (those with savings) and in turn lend those funds to the banks' borrowers (those in need of funds). Banks make money by charging borrowers more for a loan (a higher percentage interest rate) than is paid to depositors for use of their money. 

If banks did not lend out their available funds after meeting their reserve requirements, depositors might have to pay banks to provide safekeeping services for their money. For the economy and the banking system as a whole, the practice of keeping only a fraction of deposits on hand has an important cumulative effect. Referred to as the fractional reserve system, it permits the banking system to "create" money. [2]
 
Justeru..

Fractional reserves banking adalah satu sistem ini menetapkan pihak bank untuk MENGEKALKAN sebahagian dari jumlah wang yang disimpan oleh pendeposit dan menggunakan bakinya untuk memberi pinjaman kepada pelanggan lain.

Investopedia mentakrifkannya sebagai A banking system in which only a fraction of bank deposits are backed by actual cash-on-hand and are available for withdrawal. This is done to expand the economy by freeing up capital that can be loaned out to other parties. Most countries operate under this type of system. [3]

Maka kesimpulannya, sistem fractional reserves banking adalah sistem yang membenarkan pihak bank menyimpan sebahagian dan meminjamkan bakinya atas alasan menggalakkan perkembangan ekonomi, manakala Fractional Reserves Requirement adalah jumlah minima despoit (wang simpanan) yang WAJIB DISIMPAN.  Di Malaysia, syarat yang ditetapkan hanyalah 4% dari jumlah simpanan seorang pendeposit, terdapat pula negara yang meletakkan 10% atau 20% atau 50% wajib disimpan, bakinya boleh dipinjamkan. 

Sebagai contoh mudah untuk menambah kefahaman ianya begini; 

katalah kita di sebuah negara yang meletakkan 20% sebagai fractional reserves requirement, lalu halnya seperti di bawah:

John menyimpan wang tunainya sebanyak seribu ringgit (USD1000) kepada Bank A.
Bank A menerimanya dan WAJIB tidak menggunakan 20% dari jumlah itu iaitu USD200.
Manakala bakinya sebanyak USD 800 boleh dipinjamkan. Katalah Encik Umar telah membeli perabor secara hutang dari Encik Ali dan ingin meminjam wang dari bank bagi menyelesaikan hutangnya.  Bank memberikan pinjaman USD 800 dengan kadar interest sebanyak X dalam tempoh 10 tahun. Dengan cara ini, bank berhasrat menambah asetnya.
Apabila Encik Umar menerima wang itu, ia terus menggunakannya bagi membayar perabot yang dibelinya dari Encik Ali.


Encik Ali selepas itu menyimpan hasil jualan perabot tadi di dalam akaunnya di Bank B.


Jumlah USD 800 dimasukkan ke bank komersial B. Tatkala itu bank B mestilah menyimpan 20% darinya iaitu USD 160. Bakinya sebanyak USD 640 akan dipinjamkannya kepada pelanggan lain dengan interest juga.


Begitulah pusingan wang di semua bank-bank dan peminjam. Katalah ia berterusan sehingga Bank K.


Kesimpulannya, setiap kali terdapat orang yang menyimpan duit di bank, setiap kali itulah ia mempunyai kuasa untuk mencipta wang melalui pinjaman dengan interest. Setiap kali wang dicpta melalui interest, jumlah wang di dalam pasaran bertambah dan ia akan membawa kesan inflasi. Proses pertambahan dan pergandaan wang asal yang disimpan ini boleh berganda mengikut teorinya sebanyak 500%. Ia dinamakan proses money multiplier.
Untuk lebih mudah faham, sila lihat rajah di bawah.

Bagaimana simpanan RM 1000 menjadi RM 4000 dalam pasaran

Nama Bank
Jumlah disimpan
Jumlah pinjaman diberikan
Reserves
A
1000
800
200
B
800
640
160
C
640
510.2
120.8
D
510.2
400.96
100.24
E
400.96
320.77
80.19
F
320.77
260.21
60.55
G
260.21
200.97
50.24
H
200.97
160.78
40.19
I
160.78
130.42
30.36
J
130.42
100.74
20.68
K
100.74





Total Reserves:



890.26

Jumlah Keseluruhan Simpanan
Keseluruhan yang dipinjamkan
Total Reserves + Last Amount Deposited:

4570.05
3570.05
1000
Bayangkan dengan simpanan RM 1000 itu, menyebabkan wang itu berlegar dalam sistem perbankan sesebuah sehingga boleh menyebabkan penciptaan wang sebanyak RM 4570.05 dalam pasaran. Padahal, wang tunai yang sebenarnya hanyalah RM 1000. Inilah hasil fractional reserve banking system

Sila lihat graf ini pula:-

  duit berganda
Rajah : Graf money multiplier
Ia menjelaskan bagaimana fractional reserve requirement yang ditentukan oleh kerajaan atau bank negara memberikan kesan kepada maksimum pergandaan wang dalam pasaran.

Inilah juga yang sedang berlaku di bank-bank komersial di seluruh dunia termasuk Malaysia. Apa yang anda faham?

Cuma di Malaysia, pergandaannya tentulah lebih dahsyat kerana peratusan fractional reserve di Malaysia adalah 4 % sahaja. Justeru grafnya akan menaik ke atas dengan lebih tinggi.

3)   DUIT KERTAS FIAT (FIAT MONEY)
Setelah faham apa itu fractional reserve banking dan requirement, adalah lebih mudah untuk kita faham bagaimana duit kertas hari ini dicipta. Semuanya bermula pada tahun 1971, munculnya Fiat Money iaitu duit kertas yang ada di sekeliling kita hari ini. Ia adalah wang kertas yang tidak disandarkan kepada apa-apa precious metals seperti emas dan perak. Ia bukan lagi representative money sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.

Ada yang berpendapat fiat money dicipta kerana jumlah emas yang tidak mencukupi untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi yang begitu cepat. Lombong-lombong emas gagal menghasilkan emas yang mencukupi untuk penciptaan wang. Maka atas dasar ingin melonjakkan pertumbuhan ekonomi, pergantungan kepada emas fizikal tidak lagi berkesan. Natijahnya fiat money dicipta. 

Perkataan ‘fiat' pula berasal dari perkataan latin yang bermaksud ‘let it be done'. Memang benar, fiat money yang wujud hari ini boleh dicetak oleh kerajaan berdasarkan kehendak mereka, sebagaimana yang dikatakan dicipta ‘from the thin air' atau dari angin sahaja. 

Menurut investopedia, fiat money dijelaskan sebagai
"Currency that a government has declared to be legal tender, despite the fact that it has no intrinsic value and is not backed by reserves. Historically, most currencies were based on physical commodities such as gold or silver, but fiat money is based solely on faith." [4]
Jelasnya, apakah asas penciptaan wang kertas hari ini?. Ia hanyalah berdasarkan kehendak dan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap nilainya.

Jika tiba-tiba semua rakyat di dunia, enggan mengiktiraf USD dalam transaksi mereka. nilai USD akan menghadapi masalah, demikian juga Ringgit Malaysia.

Nilainya wang kertas fiat ini pula kebanyakkannya ditentukan oleh keyakinan manusia kepada kerajaan yang mengeluarkannya, ia dibiarkan terapung ‘floating' mengikut suasana ekonomi di sesebuah negara. 

Sebab itulah jika kerajaan sewenang-wenangnya mencetak wang kertas fiat, ia sama sekali tidak menjadikannya kaya, malahan nilai matawangnya semakin menjatuh. 

Biasanya apabila perang berlaku atau masalah ekonomi berlaku seperti di US dan Eropah di waktu ini, kerajaan melalui bank negara mereka akan mencetak lebih banyak wang kertas fiat bagi menghadapi urusan peperangan atau masalah kredit, apabila cetakannya begitu dahsyat sampai melebihi perkembangan sebenar ekonomi dalam negara tersebut, inflasi atau susut nilai matawang akan berlaku. Proses pertambahan jumlah wang kertas dalam pasaran dunia atau sesebuah negara ini dinamakan money supply. 

Justeru, cetakan wang kertas dalam sesebuah negara MESTI dikawal oleh kerajaan sebaiknya, selaras dengan perkembangan industri dan perniagaan dalam negaranya, jika tidak jumlah wang kertas yang dihasilkan melebihi kadar pertumbuhan industi dan perniagan sesebuah negara itu, hasilnya nilai matawangnya akan jatuh merudum dan kuasa beli mengecut. Tatkala itu inflasi akan berlaku. Contoh mudahnya, jika dahulu RM 5 boleh membeli ayam sekilogram, selepas inflasi RM 5 hanya boleh membeli ½ kilo ayam.

4)                  DUIT KERTAS FIAT SECARA SEMULAJADINYA DICIPTA DENGAN INTEREST PENYEBAB INFLASI
Ini satu lagi hakikat yang mesti difahami. Ia amat berbeza dengan sistem kewangan Islam. Namun saya belum berkesempatan untuk menghuraikan lanjut bagi mengelakkan artikel ini menjadi terlalu panjang. 

Dalam sistem konvensional hari ini, setiap duit yang dikeluarkan adalah dianggap barang dagangan (komoditi) yang mesti menghasilkan keuntungan dengan sendirinya. Mereka percaya cara mendapatkan keuntungan adalah melalui interest yang dikenakan kepada peminjam. 

Ini amat bertentangan dengan Islam yang menghalalkan keuntungan dicapai melalui proses jual beli. Mengapa berbeza?. Kerana proses jual beli memberikan ruang pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh, membuka peluang kerja, peluang supplier barangan, pembekal pasir, kontraktor, pembekal kertas dan ramai lagi akan mendapat manfaat dari proses penghasilan keuntungan melalui jual beli. Sangat berbeza dengan pemikiran konvensional yang ingin menghasilkan duit dari pinjaman duit.

Bagi mereka duit dan wang dengan sendirinya adalah komoditi, ia adalah ibarat sebuah rumah, minyak petrol dan gas, kereta, lembu atau ayam yang boleh menghasilkan duit samada dengan menyewakannya, menjual atau meminjamkan. Ia mesti membawa hasil pulangan. 

Sekali lagi ditegaskan, setiap wang kertas fiat yang dikeluarkan oleh bank atau sesebuah kerajaan dilahirkan dengan interest di sebaliknya atau bersamanya, sejak dari mula asal usul penciptaannya.

Beginilah, katalah ENCIK ROBIN satu-satunya manusia berdikari yang ingin menggunakan wang kertas fiat di Bandar Gotham. Hanya ada sebuah bank di Bandar Gotham, iaitu bank D. (contoh ini adalah bersifat fiction tetapi ia hanya untuk memberi tambahan kefahaman bagaimana sistem bank mencipta wang kertas, riba bersamanya dan kesannya jumlah keseluruhan wang  kertas dalam pasaran)

Tiada sebarang wang kertas dalam pasaran dunia Gotham ketika itu. Kini En Robin memerlukan wang sebanyak Gotham Dollar 2000. Permohonan kepada bank dibuat, bank mencipta wang yang diminta dari ‘thin air' dari angin tanpa sebarang sandaran. Dipinjamkannya kepada En. Robin Gotham Dollar 2000 itu dengan interest sebanyak Gotham Dollar 500. 

Masalahnya, dalam pasaran dunia itu, wang yang wujud hanyalah Gotham Dollar 2000 sahaja kerana itulah duit pertama yang dicipta oleh Bank di Bandar Gotham. Justeru, bagaimana En Robin ingin mendapatkan lagi Gotham Dollar 500 untuk menyelesaikan interest kepada bank D sedangkan tidak wujud Gotham Dollar yang lain selain 2000 yang baru dicipta tadi.? 

Jawapnya, Robin terpaksa pergi kepada Bank D sekali lagi, kali ini ingin meminjam Gotham Dollar 500 pula kerana berhasrat ingin menyelesaikan hutangnya dengan interest. Bank memberi pinjam Gotham Dollar 500 tetapi sekali lagi ia dikeluarkan dengan interest, kali ini sebanyak Gotham Dollar 50. 

Sudah tentu sekali dan berjuta kali lagi en Robin akan di bank yang sama membuat perkara yang sama dan hutangnya juga akan selesai. Itulah sistem kewangan dunia hari ini. Mereka mengganggap setiap duit yang tercipta mesti membawa pulangan. Bezanya, terdapat ramai yang meminjam dan banyak bank yang menyediakannya bermula dari Bank Negara. 

Itulah yang berlaku, dan itulah asas duit kertas fiat. Dicipta asalnya oleh Bank Negara dan dipinjamkan kepada bank-bank komersial yang lain dengan interst, kemudian bersandarkan sistem FR dan money multiplier tadi, ia berkembang biak dalam pasaran sesebuah negara dan mengalir ke luar negara.

Pihak bank negara pula mengesahkan wang kertas fiat tadi mempunyai nilai untuk membayar segala jenis hutang awam dan swasta. Itulah status legal tender yang tercatat di  matawang kertas kita dan USD hari ini.

HUKUM WANG KERTAS FIAT & PANDANGAN ULAMA

Telah dsebutkan tadi wang kertas fiat tidak disandarkan kepada apa jua precious metal, ia tidak punyai nilai sendiri dan hanya bersandar kepada kepercayaan dan tanggapan umum terhadapnya.

Selain itu, ia juga dilahirkan bersama interest, nilainya sentiasa mengecut akibat inflasi dari sistem fractional reserve. Jika itulah keadaannya, apakah hukumnya?

Bagi menentukan hukumnya, para ulama cuba melihat adakah wang kertas fiat ini sama seperti emas atau tidak?. 

Sistem penciptaan wang kertas fiat sebegini juga dilihat TIDAK ADIL sama sekali buat setiap individu yang berusaha. Bayangkan individu yang berusaha keras lalu berjaya, dan mempunyai simpanan berbillion ringgit Malaysia. 

Tiba-tiba akibat kepercayaan antarabangsa kepada Ringgit Malaysia jatuh, nilai dan kuasa beli yang dimiliki oleh RM turut akan jatuh merudum, inilah proses hyperinflation yang berlaku kepada Zimbabwe sekarang. Jikakalau keadaan ini berlaku kepada Malaysia ( moga dijauhkan Allah), dan jikalau individu berjaya tadi masih tidak menukarkan wang kertas fiat yang tersimpan di banknya kepada aset berharga seperti emas, perak dan properties, SUDAH TENTU NILAI BERBILLION TADI MENJADI BEBERAPA RINGGIT SAHAJA. Adakah sistem MATAWANG SEBEGINI baik, maju lagi hebat?

Tidak sama sekali, malah inilah sistem yang membenarkan usaha keras dirompak oleh sesiapa sahaja! Inilah yang belaku kepada negara kita apabila George Soros melambakkan wang Ringgit sehingga jatuh nilainya begitu deras. 

Selagi kita terus dengan sistem ini, selagi itulah kita boleh diugut oleh negara kaya, malah individu kaya turut boleh menjatuhkan nilai ringgit kita dalam masa satu minit.!! Tidak keterlaluan jika saya katakan, sistem wang kertas fiat adalah SATU PERANGKAP yang dibuat oleh negara barat, dalam masa yang sama mereka juga terperangkap oleh perangkap yang dicipta mereka.

Jikalau matawang kita berasaskan emas dan perak yang punyai nilai tersendiri dan tidak bersandar kepada kepercayaan dan keyakinan serta persepsi umum terhadap ekonomi negara kita. Adakah masalah yang disebut tadi akan berlaku?. InshaAllah tidak. 

Ibn Sina pernah berkata :-
من حكمة الله في الحجرين وندورهما أنهما قيم لمكاسب الناس..فلو حصل عليهما بالصفة لبطلت حكمة الله في ذلك وكثر وجودهما حتى لا يحصل من اقتنائهما على شيء

Ertinya : Ini adalah dari hikmah yang dikurniakan Allah pada dua jenis logam ini (emas dan perak) dan kesukaran menemuinya (scarcity) sehingga itu ia mampu menjadi penyandar nilai usaha manusia (sebagai perolehan dan matawang),..maka jikalau boleh sifat kedua-duanya (emas dan perak) itu diperolehi dengan mudah (secara tidak hakiki seperti apa yang ada pada matawang fiat kertas), maka akan terbatallah hikmah penciptaannya oleh Allah, dan banyaklah yang boleh memilikinya sehingga menyimpannya(memilikinya) tidak sebarang erti.[5]

Tamadun Islam tidak pernah menghadapi masalah inflasi yang teruk kerana emas dan perak sentiasa mampu mendapat tempat di hati manusia. Oleh kerana kewujudan emas dan perak yang terhad, itulah hikmah yang menjadikan nilainya sentiasa kekal. [6]

Jika berlaku sedikit inflasi di zaman pemerintahan Islam, ia adalah kerana wang-wang sampingan iaitu wang bernama fulus terlebih sebaran di dalam pasaran.

Fulus adalah duit sampingan untuk transaksi kecil. Ia pernah dicipta di zaman pemerintahan Islam, ia dibuat dari bahan murah seperti campuran besi dan tembaga tanpa nilai tersendiri yang tinggi. Nilainya ditetapkan oleh kerajaan, ia menjadi popular dan tersebar di zaman Al-Malik An-Nasir sekitar tahun 806, sebelum itu semua zaman pemerintahan Islam hanya menggunakan EMAS dan PERAK sahaja sebagai matawang utama. [7]

Menurut Prof. Dr Ali Muhyiddin Al-Qurrah Daghi, fulus sesuai disamakan keadaannya dengan matawang fiat kertas di zaman ini kerana kedua-duanya tiada nilai tersendiri.[8]

Imam Asy-Syafie pernah menolak tindakan menjadikan logam selain emas dan perak sebagai matawang.  Malah beliau amat tegas sehingga menolak sebarang qiyas terhadap emas dan perak. Namun ulama mazhab Syafie berpendapat qiyas dalam hal ini masih wujud  sekiranya ia mempunyai ‘illahathman ( store value ). [9]

Melalui persidangan dan mesyuarat Majlis Fiqh Antarabangsa, para ulama dengan bantuan pakar ekonomi dan kewangan kontemporari berijtihad secara jama'aie dalam menentukan kedudukan wang kertas fiat ini. 

Adakah ia sama hukumnya seperti emas dan perak walaupun ia tidak punyai nilai fizikal tersendiri (intrinsic value) atau ia bagaimana? 

Setelah diskusi panjang lagi teliti dan terperinci pada tahun 1986, lalu petikan keputusan mereka adalah [ nombor 31 ( 3/9) ] :-

بخصوص أحكام العملات الورقية : أنها نقود اعتبارية فيها صفة الثمنية كاملة ولها الأحكام الشرعية المقررة للذهب والفضة من حيث أحكام الربا والزكاة والسلم وسائر أحكامها

Ertinya : Berkenaan hukum wang kertas fiat : Ia adalah matawang pada hukumnya disebabkan padanya terdapat sifat nilai harga yang lengkap, dan oleh itu semua hukum hakam yang ada pada emas dan perak adalah jatuh kepada wang kertas fiat seperti hukum berkaitan riba, kewajiban zakat, jual beli secara salam, dan seluruh hukum emas dan perak. (qararat wa tawsiat, Majma Al-Fiqh Al-Islami, hlm 40 )

Keputusan untuk mengaplikasikan hukum emas dan perak ke atas wang kertas fiat ini adalah bertepatan dengan pandangan Umar al-Khattab. Khalifah Umar pernah berhasrat menjadikan kulit kerbau sebagai matawang, tetapi ia membatalkannya kerana bimbang akan ada yang pinjam meminjam kerbau maka jatuh kepada riba. [10] Ini beerti Umar melihat apa sahaja yang dijadikan matawang walaupun selain emas dan perak, hukum riba masih tetap ada padanya. [11]

Demikian juga apa yang disebut oleh Imam Malik bin Anas :-
لو أن الناس أجازوا بينهم الجلود حتى تكون سكة وعين لكرهتها أن تباع بالذهب والورق نظرة

Ertinya : "Sekiranya orang ramai membenarkan sesama mereka untukmenjadikan kulit sebagai dibentuk menjadi wang, nescaya akan aku larang ianya dijual dengan emas dan perak secara tangguh" [12]

Ia jelas menunjukkan pendirian Imam Malik bin Anas, dan boleh kita adaptasikan pandangannya dengan wang kertas fiat hari ini.

Jika kita kembali merujuk dan melihat kepada cara penciptaan matawang fiat (yang telah disebutkan di atas) ini sudah tentu hukum penggunaannya adalah HARAM disebabkan cara penciptaannya. 

Namun setelah para ulama melihat kepada faktor cengkaman ekonomi dunia kontemporari di tangan bukan Islam dan keperluan mendesak untuk penggunaan matawang fiat disebabkan ketiadaan alternatif di hadapan mata sepeti matawang dinar emas dan sebagainya. Majlis Fiqh antarabangsa yang dianggotai ulama fiqh terhebat dari seluruh dunia secara sepakat membenarkan penggunaannya namun dengan syarat ia mestilah mengikuti displin dan syarat yang sama dengan hukum atas emas dan perak. Ini kerana ia tetap berfungsi sebagai medium of exchange dan masih boleh menjalankan fungsi-fungsi duit di zaman moden ini walalupun tidak sesempurna emas dan perak fizikal. 

Fahamilah, fatwa mestilah bersifat praktikal atau ‘jejak di atas muka bumi dan tidak terawang di angkasa'. Memang boleh bagi para ulama untuk menfatwakannya sebagai haram, namun apakah alternatif yang ada di hadapan mata di ketika ini. Kita juga mengetahui bahawa fatwa para ulama bukannya dinilai begitu berat oleh pemimpin politik negara-negara umat Islam sehingga dengan segera mereka akan memperkenalkan dinar emas. Justeru itu, atas dalil hajiat, umat Islam diberikan keringanan untuk bermuamalat dengan wang kertas fiat ini namun MESTILAH MENGIKUT DISPLIN emas dan perak. 

PEMAIN FOREX TRADING MELALUI INTERNET YANG PELIK
Sebelum itu, anda boleh membaca ulasan saya berkenaan forex trading melalui pelbagai platform di internet di sini. 


Kerana itulah, ingin saya tegaskan, individu yang sibuk meraih untung melalui perniagaan matawang atau forex trading sebenarnya adalah penyumbang-penyumbang kepada inflasi dan menambah lagi masalah money supply yang telah saya sebutkan kesan akibat darinya. 

Sudahlah FATWA keharusan penggunaan fiat money hanya berlandaskan ‘hajiat tunnazzal manzilat ad-dharurat',(IAITU KEPERLUAN YANG TINGGI YANG HAMPIR TERGOLONG DALAM KATEGORI TERDESAK)  
Tiba-tiba MUNCUL individu yang mendakwa diri Islam menyalahkangunakan fatwa ini untuk memuaskan ketamakan diri dengan melibatkan diri dalam forex trading melalui platform pelik-pelik di internet. Ia bukan sahaja ditegah oleh undang-undang Malaysia malah juga hukum Syara'. 

Lebih bermasalah apabila kumpulan pemain ini berhujjah kononnya financial leverage yang mereka sertai adalah halal tanpa sebarang masalah. Padahal masalah HUKUM sudah muncul di awal-awal lagi, iaitu pada matawang kertas fiat yang lahir dengan cara riba, juga tidak bersandarkan kepada emas dan perak. 

Inikah hasil pendapatan yang ingin dibanggakan? mengambil untung atas perbezaan nilai satu matawang fiat sebuah negara dengan matawang negara yang lain. Bertenggek atas matawang kertas fiat untuk memberi anak dan isteri makan? Fikirkan...

Keadaan ini berbeza dengan kita orang biasa yang menggunakan matawang kertas fiat ini untuk jualbeli seharian kita. Ia termasuk dalam fatwa keringanan ‘rukhsoh' dan hajiat yang dimaksudkan oleh fatwa para ulama sedunia tadi.

Tidak saya nafikan ada ‘ustaz' yang terlebih tegas lalu berkeras mengatakan wang kertas fiat hari ini tetap haram. Memang benar hukumnya haram dan tahniah atas ketegasan namun saya bimbang mereka terlupa di dalam poket mereka adalah wang jenis ini juga. Maka atas dasar keyakinan tegas mereka, setiap kali mereka menggunakan wang kertas fiat, setiap kali itu jugalah mereka tenggelam dalam dosa. Mereka berdosa kerana mereka seolah menolak fatwa yang memberikan keringanan menggunakannya di waktu ketiadaan wang yang memenuhi kehendak Islam.

Sabda Nabi s.a.w :
إن هذا الدين يسر، ولن يشاد الدين أحد إلا غلبه

Ertinya : "Agama ini adalah banyak memudahkan, dan tidaklah seorang yang terlalu berkeras (atau melampau) dalam urusan agama kecuali mereka akan tewas ( dengan kekerasan ) mereka"  ( Al-Bukhari, Bab Iman )

KESIMPULAN

Fahami sekali lagi tulisan ini dan apakah alternatifnya?. Tidak lah begitu mudah untuk saya menuliskannya dalam artikel ringkas. 

Malah tidak mudah juga ia dilaksanakan di zaman kuasa bukan Islam menguasai dunia, mereka menguasainya melalui sistem Kapitalisme, dipenuhi pula dengan individu kapitalis yang enggan tunduk kepada kebenaran kerana tenggelam dengan kerakusan. Sistem kapitalis hari ini sebenarnya boleh diubah suai bagi menepati Islam sebagai sistem demokrasi. 

Untuk tujuan itu, ia perlu bermula dengan diri ANDA. ANDA PERLU MEMAHAMI BAGAIMANA WANG FIAT DICIPTA DALAM SISTEM EKONOMI BEBAS KAPITALISM, fahamikan juga kesannya kepada diri anda dan dunia.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
10 November 2008